Empat Sindiket Tipu Skim Pelaburan Berjaya Ditumpaskan – Polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Empat sindiket penipuan skim pelaburan ditumpaskan dengan 21 individu termasuk tiga wanita ditahan menerusi beberapa siri operasi di lima negeri, sejak awal bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata kesemua tangkapan dilakukan menerusi beberapa operasi di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan.

Katanya, semua suspek dipercayai mendalangi kegiatan penipuan skim pelaburan ‘LikeShare’, Zan Zan Lee, iShareFans dan E-Currency Investment Bitcoin.

“Berdasarkan siasatan, ahli sindiket akan memulakan hantaran iklan tawaran pelaburan melalui platform media sosial di Facebook dan WhatsApp.

“Mangsa yang tertarik akan mula mengikut arahan sindiket untuk menyertai pakej pelaburan dengan modal rendah tetapi menjanjikan keuntungan berganda dalam tempoh singkat.

“Mereka yang tamak kemudian akan melabur dengan jumlah lebih besar bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi dan sindiket akan memutuskan hubungan komunikasi dengan mangsa setelah mendapati jumlah pelaburan tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata pihaknya turut merampas 28 telefon bimbit, 17 kad ATM, 11 kad kredit, kad Big Pay, dua set komputer, tiga komputer riba, satu tablet, tiga modem, satu ‘router’ serta sembilan set dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut dirampas, dua buku cek, cop perniagaan, salinan resit pelaburan, salinan borang bank, salinan penyata akaun, sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM11,930.

“Orang ramai jangan mudah percaya iklan promosi pelaburan di media sosial dan semak terlebih dahulu dengan agensi berkaitan bagi memastikan status skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan.

“Skim pelaburan yang berdaftar dan diiktiraf oleh Bank Negara tidak akan menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 sekiranya mempunyai maklumat berhubung penipuan di media sosial. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat