KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tujuan menambah pendapatan negara berbanding menaikkan tarif elektrik.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh bahkan tidak ‘memaksa’ Perdana Menteri menggunakan nama GST jika alergik terhadap cukai itu namun menggunakan sistem sama.
“Kadar kenaikan tarif elektrik hanya akan dikenakan kepada kilang-kilang dan golongan maha kaya dan menurut Perdana Menteri 85 peratus rakyat tidak terkesan. Namun, persoalan saya, apakah jaminan kerajaan apabila kenaikan tarif elektrik yang dikenakan kepada kilang-kilang ini tidak akan memberi kesan pada kenaikan harga barang yang dikeluarkan oleh kilang-kilang ini?
“Mungkin PM lebih arif mengenai “domino effect” apabila satu kenaikan tarif dikenakan ke atas kilang,yang mana kebiasaannya rakyat sebagai pengguna yang akan menanggung kesannya dengan kenaikan harga barang yang akan dikeluarkan.
“Saya cadangkan kepada PMuntuk melaksanakan semula GST yang ternyata lebih berkesan untuk menambah pendapatan negara dan lebih adil,dan telah terbukti berkesan di seluruh dunia.
“Jika alergik dengan nama GST kita bagi nama lain pun boleh,janji ia dapat membantu menambahkan pendapatan negara dan membantu rakyat,” cadang Akmal.
Terdahulu Anwar memaklumkan, kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa Julai 2025 ini tidak akan memberi kesan kepada 85 peratus rakyat.
Beliau sebaliknya menegaskan, kenaikan kadar tarif elektrik itu hanya melibatkan sektor industri mengikut kaedah Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) serta sebahagian golongan `maha kaya’.
Tegas Menteri Kewangan itu lagi, kenaikan kadar tarif elektrik pada kadar kurang daripada 14 peratus itu disifatkan munasabah dalam usaha kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan seperti sekolah dan hospital.
“Kita kena terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan maha kaya ini.
“Saya sebut depan peniaga-peniaga semalam, kita tidak akan tolak ansur, kita terpaksa naikkan, tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat, dengar betul-betul, bukan dengar dengan perasaan marah, ini masalah dia,” katanya dalam sesi pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa kerajaan `flip flop’ berhubung dasar kenaikan tarif elektrik sehingga mengelirukan banyak pihak.
Sementara itu, Anwar menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum.
“Saya katakan kita patut cerakinkan, apa dia untuk kategori yang dinaikkan.
“Jadi saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai ini.
“Sebanyak 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini,” katanya.