ARAU – Berusaha dalam memfokuskan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) telah mengadakan Program Autism Hub for Educational Resources & Training (A-Heart), di sini hari ini.
Anak-anak autisme dalam kalangan keluarga B40 komuniti Perlis telah terpilih menyertai program ini yang dijalankan sepanjang tahun.
Program ini bertujuan untuk menyediakan sesi terapi deria dan cara kerja kepada kanak-kanak dan remaja autism di mana 48 sesi terapi setahun telah dirancang.
Program ini turut menawarkan sesi diagnosis keperluan terapi anak autism bagi memastikan pendekatan terapi yang efektif serta menyediakan sokongan kemudahan pengangkutan dikalangan mereka yang menghadapi kekangan menghantar anak mereka mengikuti sesi terapi.
Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin telah mencemar duli ke Dewan Ilmu di UniMAP hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UMP Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menyokong usaha dalam meningkatkan pendidikan dikalangan golongan istimewa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak turut berbesar hati hadir ke Majlis Hi-Tea Limpahan PISKANITA & A-Heart.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts Dr Zaliman Sauli,
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd
Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
“Galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan anak-anak autism di mana ia sedikit sebanyak dapat memberi fokus dalam mengembangkan potensi dikalangan kanak-kanak istimewa ini”, kata Mohd Irwan.
“Selain itu, inisiatif YBR ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anakanak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan mengikut tahap keupayaan dan keperluan masing-masing,” katanya pada majlis minum petang di sini, hari ini.
Jelas Mohd Irwan lagi, kerjasama ini merupakan langkah positif bagi memastikan anak-anak autism mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Golongan istimewa ini berbeza dengan mereka yang normal tetapi tetap mempunyai kelebihan akal fikiran dan kemahiran.
“Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutamanya daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta mampu mempunyai masa hadapan yang cerah sama seperti mereka yang lain untuk hidup lebih sempurna,” katanya.
Untuk rekod, bagi tahun 2022, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 72 program melalui inisiatif Program Pembangunan Masyarakat ini.
YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberi satu impak yang besar kepada usaha untuk membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan.