Kerjasama KPT, KBS Bantu Perkasa Kebolehpasaran Graduan IPT & Belia – Dr Noraini

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini bersetuju merintis kerjasama rentas kementerian dalam usaha memperkasakan kebolehpasaran graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta belia negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat atas talian dengan Menteri Belia & Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta pengurusan kementeriannya hari ini.

“Kedua-dua kementerian telah menzahirkan komitmen masing-masing untuk membantu memperkasakan belia dan graduan IPT dalam beberapa bidang antara antaranya perkongsian kepakaran dan fasiliti di mana KPT mempunyai Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi atau AKEPT, yang berperanan menyediakan platform bagi melaksanakan program latihan kepimpinan; pembelajaran dan pengajaran; serta penyelidikan dan inovasi kepada pegawai dan pensyarah IPT.

“Selain daripada itu, KPT juga mempunyai fasiliti-fasiliti seperti dewan kuliah, makmal, dewan persidangan, fasiliti sukan dan rekreasi, serta pelbagai lagi di 20 buah universiti awam, 36 buah politeknik, dan 104 kolej komuniti yang boleh diguna sama oleh pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noraini berkata KPT dan KBS juga akan meneroka kerjasama dalam pelaksanaan dalam bidang penyelidikan.

“KPT mempunyai lima buah universiti yang diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan. Saya berpendapat, sekiranya kelebihan yang dimiliki ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak lain selain daripada IPT sendiri, nescaya hasilnya nanti akan dapat memberikan faedah yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.

“Kerjasama penyelidikan ini boleh dilaksanakan dengan pihak fakulti seperti Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia, atau pusat seperti Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah di Universiti Kebangsaan Malaysia,” ujarnya.

Selain daripada itu, menurut beliau lagi, KPT juga mempunyai program seperti PENJANA KPT-CAP, KPT-PACE dan juga Portal GREaT yang boleh ditero bersama potensi pelaksanaannya dalam usaha meningkatkan kemahiran dengan memfokuskan kepada pembangunan belia.

“Dalam usaha meningkatan kebolehpasaran graduan, saya melihat baik KPT mahupun KBS mempunyai peranan besar bagi meningkatkan kebolehpasaran – KPT dengan graduannya dan KBS dengan belianya.

“Program-program peningkatan kemahiran sedia ada yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak (tidak terhad kepada kemahiran teknikal sahaja) mungkin boleh dikaji secara bersama dari sudut penambahbaikan modul pengajaran dan pembelajaran misalnya.

“Ini penting supaya pelaksanaan program-program ini berupaya meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan serta menepati aspirasi utama negara dalam melahirkan anak muda yang bersifat holistik, seimbang dari aspek sahsiah dan rohani, serta memenuhi keperluan industri,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat