Jersi Baru Selangor FC Habis Dijual Dalam Tempoh Kurang 48 Jam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jersi baharu Selangor FC (SFC) sememangnya ‘laku keras’ selepas 6,000 helai jersi laman sendiri bagi musim 2021 itu habis terjual kurang daripada tempoh 48 jam menerusi kedai dalam talian dan semua vendor pengeluar jersi rasmi, Joma.

Namun, penyokong tidak perlu bimbang selepas pasukan itu dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya akan menambah 1,600 helai lagi stok baharu selewat-lewatnya esok di kedai atas talian SFC.

“Ini adalah untuk mereka yang tidak berkesempatan membelinya sebelum ini manakala edisi penyokong pula akan mula dijual selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Pihak pengurusan SFC amat menghargai dan berterima kasih kepada semua penyokong Red Giants atas sambutan yang hangat untuk jersi laman sendiri pertama SFC. Teruskan menyokong pasukan Merah Kuning,” kata pasukan itu.

Sebagai rekod, pelancaran jersi itu yang berlangsung pada Isnin lalu mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menarik sebanyak lebih 6,300 tontonan secara langsung ketika ia dilancarkan secara atas talian di platform Facebook SFC.

Tidak seperti tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 menyaksikan SFC tidak dapat menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor yang menjadi medan untuk memperkenalkan jersi pasukan selain majlis pengenalan pemain dan sesi pertemuan pihak pengurusan dengan penyokong.

Menjadi pasukan pertama yang melancarkan jersi bagi musim 2021, SFC menerima pelbagai respon positif daripada penyokong Selangor dan juga pemerhati bola sepak Malaysia untuk rekaan jersi yang diinspirasikan daripada pasukan yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1986.

Selain menerima komen positif di laman sosial, jersi retro bertemakan “Legasi Mokhtar Dahari” yang turut menerapkan elemen bunga tanjung itu turut mendapat perhatian portal sukan di dalam dan luar negara terutamanya daripada Indonesia.

Ini kerana salah seorang pemain legenda mereka, Ristomoyo Kassim juga adalah sebahagian dari skuad 1986 dan turut menjaringkan gol pada perlawanan final terbabit. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat