KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya menyiasat insiden-insiden yang berlaku dalam pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) supaya keselamatan data rakyat dapat dijamin.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, di mana Eksekutif gagal, Parlimen akan melaksanakan tanggungjawabnya.
“Keculasan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng. Malah kerajaan sepatutnya mengutamakan penggubalan undang-undang perlindungan dan perkongsian data melalui sebuah Rang Undang-undang Omnibus yang dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
“Yang paling utama, kini timbul defisit kepercayaan yang serius akibat ‘formula’ Menteri Ekonomi yang buat kerja separuh jalan seperti ini. Sekiranya tidak dibendung, ia berpotensi mewujudkan krisis keyakinan terhadap institusi kerajaan juga,”ujar beliau memberi ingatan.
Menurut Ketua Armada Bersatu itu lagi, beliau sebelum ini seringkali menekankan kepentingan untuk menggunakan teknologi dan bukti dalam proses pembikinan dan pelaksanaan dasar.
“Oleh itu, Kerajaan Perikatan Nasional(PN) telah menubuhkan agensi LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan untuk membuat proses konsolidasi maklumat bagi tujuan analitik data. Ini adalah bagi melengkapi fungsi Jabatan Perangkaan yang mengumpulkan data secara lebih pukal.
“Penubuhan PADU untuk tujuan konsolidasi data bagi ukuran status sosioekonomi individu adalah usaha yang murni dan wajar disambut baik kerana ia meneruskan proses yang dimulakan oleh Kerajaan PN dahulu. Namun begitu, Kerajaan MADANI seolah-olah mengabaikan aspek-aspek penting dalam pelaksanaan, dakwa beliau.
Jelas Wan Fayhsal aspek utama yang sudah tentu perlu diambil berat pastinya keselamatan data yang dikumpulkan.
Ujar beliau, pengumpulan data pada skala yang begitu besar tidak pernah dibuat dalam sejarah, namun dibuat hanya dengan kuasa Eksekutif tanpa perlindungan perundangan.
“Kita harus ingat, di bawah undang-undang PDPA kita, tidak seperti kerangka antarabangsa seperti GDPR Kesatuan Eropah, data yang dikumpulkan oleh kerajaan tidak dilindungi oleh undang-undang.
“Malah masyarakat umum termasuk seorang mantan Timbalan Menteri juga telah berkongsi beberapa aspek kelemahan keselamatan sistem, antaranya yang membolehkan orang lain mendaftar bagi pihak individu tanpa kebenarannya, kata laluan yang boleh dipinda oleh pihak ketiga, serta ‘Application Programming Interface’ (API) yang terdedah kepada akses awam,” katanya.
Tambah beliau, ini juga menunjukkan ketempangan pendekatan Menteri Ekonomi apabila membina strategi bagi melaksanakan program agregasi data yang dirancang di bawah PADU.
“Itupun kita masih belum tahu apa sistem keselamatan termasuk penyulitan (encryption) yang sepatutnya melindungi data kita. Adakah sistem keselamatan telah diuji secara menyeluruh dan dibuktikan tidak dapat diceroboh dengan mudah? Atau kita akan nampak data kita dijual di Shopee atau jaringan gelap (dark web) tidak lama lagi? soalnya.