Zahid, Najib Dan PM ‘Bergaduh’ Isu Pengeluaran KWSP – Laporan

KUALA LUMPUR- Isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi barah dalam UMNO apabila wujud pertikaian tentang pengeluaran caruman itu.

Ketegangan semakin memuncak dalam UMNO dilaporkan kesan daripada keengganan kerajaan memenuhi tuntutan parti itu untuk membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran selanjutnya daripada simpanan persaraan mereka.

Memetik sumber seperti dilaporkan FMT, Isu itu menimbulkan pertikaian antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya, Datuk Seri Najib Razak, yang juga penasihat Barisan Nasional (BN), dengan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Presiden menyatakan pendiriannya dengan sangat jelas, beliau mahu pengeluaran KWSP dibenarkan. Begitu juga Najib,” kata sumber UMNO peringkat tinggi itu.

Pendirian mereka disokong oleh kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos bahawa kerajaan mesti akur dengan permintaan rakyat, termasuk pengeluaran sekali sahaja sekurang-kurangnya RM10,000 daripada akaun KWSP mereka.

Kata sumber itu, Ismail Sabri turut menghadiri mesyuarat, bersama Ketua Penerangan parti, Shahril Hamdan, yang kemudian menjadi penasihat ekonominya

Perdana Menteri baru-baru ini berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran KWSP selanjutnya, manakala sokongan Shahril terhadap pendirian Putrajaya mengundang kritikan hebat di media sosial.

Sumber itu berkata, masalahnya adalah “tokoh tertentu” dalam kerajaan menentang desakan berhubung pengeluaran KWSP.

“UMNO mahu pengeluaran KWSP, seperti yang dijelaskan Presiden dan Majlis Tertinggi. Perkara ini telah dibincangkan dengan PM. Kami mahu kerajaan pertimbang semula keputusannya,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, kerajaan pimpinan Umno patut mendengar pandangan parti itu, kerana ia adalah parti akar umbi yang tahu keadaan di lapangan dan apa yang rakyat mahukan.

“Rakyat sedang bergelut akibat sekatan. Mereka meminta pengeluaran KWSP dari sebelum banjir lagi. Jadi kerajaan mesti dengar,” katanya.

Sumber itu berkata, kebimbangan semakin meningkat yang UMNO akan menerima padah akibat keputusan dibuat oleh menteri-menterinya dalam kerajaan yang tidak selaras dengan kehendak parti.