Rafizi ajak Izzah, Anthony Loke desak Anwar tak sambung kontrak Azam Baki kali keempat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menyeru Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk sama-sama membuat desakan terbuka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menyambung kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM buat kali keempat.

Tegas beliau desakan itu adalah bertujuan memperbaiki kredibiliti Pakatan Harapan (PH) dan PKR melawan rasuah.

“Jika kontrak itu disambung lagi keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” jelas bekas Menteri Ekonomi itu.

Jadi katanya, jika orang tanya beliau apa yang PH perlu lakukan sebagai reaksi awal kepada kekalahan teruk di Sabah?

“Mulakan dengan membina kembali kredibiliti melawan rasuah.

“Mula dengan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

“Kalau saya seorang yang mendesak, saya rasa Perdana Menteri tidak akan dengar.

“Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Low dan DAP juga desak secara terbuka. Barulah kredibiliti melawan rasuah PH dan PKR akan dapat dibaiki kembali sedikit demi sedikit,” saran Rafizi.

Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu tindakan terbaik PH selepas PRN Sabah ialah menyelesaikan isu persepsi rasuah.

“Mula dengan jangan sambung kontrak Tan Sri Azam Baki… PRN Sabah telah selesai, keputusannya juga jelas.

“Diagnosis awal pun sudah ada. Salah satu faktor yang penting ialah rasa kecewa pengundi dengan prestasi reformasi dan pembaharuan terutamanya dalam membersihkan negara dari rasuah.

“Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas dari rasuah. Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya dari golongan kelas menengah.

“Saya juga selalu mengingatkan kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa data-data kaji selidik sejak 2024 lagi menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai prestasi mencegah rasuah kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.

“Lebih-lebih lagi kerana di sebalik ucapan-ucapan dan berita mengenai usaha mencegah rasuah, perubahan itu tidak dirasakan dengan ketara. Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman.Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan yang dibuka sebenarnya menurun dari 56 peratus bagi tahun 2020 kepada 39 peratus tahun 2024. Sabitan bersalah juga menurun.

“Minggu ini, soalan saya kepada Perdana Menteri mengenai kontrak Ketua Pesuruh Jaya SPRM naik di Parlimen. Soalan saya mudah, adakah Perdana Menteri bercadang untuk menyambung kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruh Jaya SPRM bagi kali keempat selepas ini dalam keadaan kritikan mengenai penyambungan kontrak perkhidmatan tersebut turut datang dari timbalan Presiden Parti beliau sendiri.

“Namun jawapan kerajaan adalah kabur sama seperti surat sokongan bekas setiausaha politik Perdana Menteri baru-baru ini,” selar Rafizi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat