Filem E-Sukan Malaysia “Soloz -Game of Life” curi perhatian Thailand, buka laluan antarabangsa

Kejayaan industri kreatif Malaysia terus mendapat perhatian serantau apabila filem terbaru terbitan Key Billions Sdn. Bhd., “Soloz: Game of Life”, kini menembusi pasaran Thailand. Filem ini akan ditayangkan di lebih 80 pawagam seluruh negara itu mulai 4 Disember 2025.

Apa yang menarik, filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi mengangkat dunia E-sukan tempatan melalui kisah Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, seorang ikon Mobile Legends: Bang Bang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Penerbit, Rahila Ali, menekankan bahawa pencapaian ini bukan mudah memandangkan Thailand terkenal sebagai pasaran yang selektif terhadap filem luar. Namun, kekuatan naratif, visual, dan elemen CGI dalam filem itu berjaya menarik perhatian pengedaran tempatan, Mstudio, yang melihat potensi besar filem ini untuk pasaran serantau.

“Dengan pendekatan visual yang menggabungkan dunia realiti dan dunia permainan, filem ini mampu menarik minat penonton muda, terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan pengalaman tontonan lebih dekat dengan penonton tempatan, filem ini telah dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai, menunjukkan kepekaan produksi Malaysia terhadap budaya tempatan dan usaha untuk mendekatkan diri dengan penonton antarabangsa.

Barisan pelakon tempatan termasuk Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, dan pelbagai nama besar lain, turut menyumbang kepada kekuatan lakonan yang menjadikan filem ini lebih menarik. Malah, Malam Gala dan Tayangan Perdana telah diadakan di Bangkok pada 2 Disember, dengan kehadiran pelakon utama serta pengasas Key Billions, Eddie Yap, sebagai simbolik pencapaian besar industri kreatif Malaysia.

Rahila menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sekadar membanggakan, tetapi membuka peluang baru bagi filem tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, selari dengan visi Malaysia untuk mengangkat industri kreatif negara ke pentas dunia.

“Jika langkah ini berjaya membuka lebih banyak peluang untuk filem Malaysia diterima di luar negara, ia sudah tentu menjadi kejayaan besar bagi seluruh industri,” ujarnya.

“Soloz: Game of Life” bukan sahaja menonjolkan bakat dan kreativiti tempatan tetapi juga membuktikan bahawa kisah Malaysia boleh diterima dan dinikmati di pentas serantau, khususnya dalam era E-sukan yang semakin berkembang pesat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat