KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah hampir menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata SOP itu mengambil kira situasi terkini penularan varian baharu COVID-19, Omicron, dengan beberapa langkah lebih ketat disyorkan.

“SOP sudah hampir siap dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi satu dua perkara untuk kita kemukakan kepada SPR.

“Sudah pasti perkembangan terbaru diambil kira supaya SOP yang akan dikemukakan kepada SPR itu adalah lebih ketat agar tidak ada penularan berlaku pada PRN berkenaan,” katanya pada sidang media khas, pada Jumaat.