Kerajaan hidupkan semula ekonomi penjaja, peniaga kecil – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil dengan memperuntukkan sebanyak RM48.52 juta bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan berita baik yakni kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu berita gembira berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (atau HPPK 2021) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara hybrid dalam norma baharu.

Kata beliau, melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan 0 peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak 1 peratus atas kutipan yang diterima.

“Nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun. Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya pada Jumaat di Putrajaya.

Untuk itu, Ismail Sabri menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

“Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Sebagai contoh, MEDAC menerusi TEKUN Nasional, menawarkan bantuan pembiayaan kepada golongan sektor informal di bawah program Pakej Niaga SPIN 2.0 pada Ogos lalu.

“Objektif program ini adalah untuk membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan,” ujarnya.

Antara kelebihan program ini kata Perdana Menteri adalah tidak memerlukan pendaftaran dan akaun SSM, menawarkan pakej niaga sehingga RM5,000.00, produk yang menarik dan margin keuntungan yang tinggi selain khidmat sokongan serta latihan jualan disediakan.

“Selain itu, kerajaan turut mempunyai agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai agensi baharu di bawah MEDAC, yang memfokuskan tentang usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah di Malaysia. Sehingga kini ia telah memanfaatkan 349,410 ahlinya ataupun Sahabat AIM.

“Sambutan HPPK 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Penjaja dan Peniaga Kecil Penggerak Ekonomi Rakyat’ adalah signifikan kerana penjaja dan peniaga kecil merupakan satu komponen yang cukup penting sebagai penggerak kitaran ekonomi domestik kita,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat