Hujan lebat bertembung air laut pasang, punca banjir di Terengganu malam tadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Taburan hujan tinggi yang bertembung kemuncak fenomena air pasang, menyebabkan beberapa kawasan rendah berhampiran pantai di Terengganu mula dinaiki air, malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata gelombang ketiga banjir kali ini menyebabkan 439 orang daripada 124 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah secara berperingkat.

“Mangsa paling ramai setakat 8 pagi ini ialah di Marang yang menempatkan 156 mangsa daripada 42 keluarga di Sekolah Kebangsaan Rusila.

“Di Kuala Terengganu pula, tiga PPS dibuka menempatkan 114 mangsa daripada 36 keluarga. Begitu juga di Kuala Nerus, terdapat tiga PPS beroperasi ketika ini menempatkan 96 mangsa daripada 22 keluarga manakala di Kemaman, 73 mangsa daripada 24 keluarga berada di dua PPS,” katanya kepada pemberita hari ini.

Che Adam berkata, mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), julat taburan hujan yang berlaku bagi tempoh enam hingga lapan jam malam tadi adalah 190 milimeter (mm), jumlah yang terlalu banyak kerana kebiasaannya, julat taburan hujan bagi tempoh sebulan ialah antara 200 mm hingga 250 mm.

“Fenomena air pasang pula menyebabkan air hujan tidak dapat ke laut dengan lancar dan menyebabkan sebahagian besar kawasan di bandar raya Kuala Terengganu digenangi air,” katanya.

Di PERAK pula, hanya satu PPS masih dibuka di daerah Kerian sehingga 8 pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata 27 mangsa banjir daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka di Kampung Matang Tengah, Beriah dinaiki air Isnin lepas.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas kekal 18 orang membabitkan tiga keluarga setakat 8 pagi ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata kesemua mangsa termasuk seorang bayi lelaki masih tidak dibenarkan pulang memandangkan penempatan mereka masih digenangi air berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu. – BERNAMA

kredit foto: Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat