KUALA LUMPUR -Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa dalam Kerajaan Perpaduan, Umno dan DAP adalah pemain utama yang menguasai meja poker sebab kita ada kekuatan ahli, penyokong dan jentera.
Justeru menurut beliau, Amanah dan PKR kena sedar mereka tak ada kelebihan itu semua, jadi mereka patut tak boleh duduk di meja poker.
“Lagipun, nasib bukanlah satu strategi yang boleh diharapkan dalam jangka masa panjang. Strategi benci Umno macam zaman dulu pun tak boleh dipakai sekarang kerana Umno dah jadi kawan pergantungan.
“Lepas itu dalam sehari ini ni, Amanah dan PKR; dua parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang kadangkala lebih sudu daripada kuah dalam Kerajaan Perpaduan, terutama bila tiba soal tuntutan jawatan dan kuasa di Johor.
“Ya, Johor bukan kerajaan negeri yang ditubuhkan atas persefahaman Kerajaan Perpaduan sebab ia berlaku lebih daripada kerjasama BN-PH di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Nur Jazlan berkata, jadi Johor tak terikat secara langsung dengan kerjasama itu sama macam Kerajaan Sarawak.
“Kalau betul PH nak berlaku adil, patutnya minta Datuk Seri Anwar Ibrahim tuntut juga dari Abang Johari supaya buatkan Kerajaan Perpaduan di Sarawak sebab GPS adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.
“Tapi sejak kebelakangan ini, Kerajaan Negeri Johor dijadikan macam pasar borong oleh parti lain seperti Amanah yang hanya ada 1 kerusi je nak tuntut macam-macam jawatan dari Exco sampailah ketua-ketua kampung. Memang cara politik kekampungan la dibawa oleh Amanah ini.
“Tak sampai 24 jam lepas Umno menang di DUN Mahkota, parti serpihan PAS ini nampak sangat gelojoh; duduk ulang lagi nak minta jawatan itu ini sampai desak suruh buat Kerajaan Perpaduan di Johor. YB Amanah di Pulai, si Suhaizan Kayat yang saya bantu sungguh-sungguh sampai dia menang pun sekarang ini busy sangat sampai penutup longkang pun dia rasmikan.
“Saya nak cakaplah dengan bagi analogi yang senang nak faham. Dalam konteks permainan poker politik ni, hanya mereka yang benar-benar ada skil, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama. Bagi saya hanya Umno, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise” dan bila nak ambil risiko. Dua parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu.
“Tapi parti-parti lain macam mana? Biarlah saya cakap terus terang bukan setakat dalam politik di nasional saja, politik di peringkat politik Johor pun Amanah dan PKR kurang layak duduk semeja main poker politik ni. Mereka hanya sesuai duduk depan mesin kuda atau main roulette saja, sebab mereka mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja dan bukan kekuatan jentera parti atau strategi.
“Kita tengoklah sendiri, setiap kali ada peluang, Amanah dan PKR datang dengan harapan besar nak tuntut lebih kerusi, nak banyak jawatan macamlah mereka tu parti dominan. Realitinya, mereka ini hanya passengers yang nak rebut seat dalam kapal terbang yang dikemudi dua pilot iaitu Umno dan DAP. Kadang-kadang tuntutan mereka buat saya tergelak, seolah-olah lupa siapa sebenarnya pemain utama dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Umno-BN walaupun ada kurang satu kerusi (30) berbanding PKR (31) tapi masih lagi parti yang berpengaruh.
“Dengan gabungan yang mereka ada bersama DAP, Umno kekal penting dalam lanskap politik negara. DAP pula, jangan diperkecilkan. Walaupun sering dikritik kerana ideologi mereka, DAP tetap mempunyai sokongan kuat, terutama di kawasan bandar dan kalangan bukan Melayu. Dua parti ini bukan saja ada pengaruh, tetapi juga skil dan pengalaman politik yang tak dimiliki Amanah atau PKR.
“Amanah pula dengan hanya 8 kerusi Parlimen tapi nampak gelojohnya tak boleh bawa berbincang macam mereka kuasa besar. Tapi bila bercakap tentang kuasa politik sebenar, bagi saya Amanah hanya jadi penumpang kepada PH atau lebih tepat lagi komrad DAP. Kedua-duanya hanya bergantung kepada tuah untuk terus relevan, macam main roulette atau mesin kuda, berharap bola mendarat di tempat yang betul.
“Jadi saya nak berikan nasihat kepada Amanah dan PKR, ingatlah, politik ini bukan sekadar harapkan nasib baik ja tau,” dakwa beliau.