Permohonan Muhyiddin untuk dapatkan pasport ditolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya.

Perkara itu diputuskan Hakim, Azura Alwi selepas mendapati alasan dikemukakan pemohon tidak mewajarkan mahkamah melepaskan pasport itu.

Azura berkata, walaupun ditolak pemohon tidak dihalang menjalani kehidupan dan menjalankan tanggungjawabnya.

“Pemohon masih boleh bercuti atau meraikan apa-apa keraian cuma bukanlah di luar negara,” katanya.

Sebelum itu, ketika hujahan, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin berkata tiada risiko anak guamnya untuk melarikan diri kerana ahli keluarganya berada di Malaysia.

“Beliau tidak pernah gagal hadir ke mahkamah jika kehadirannya diperlukan dan telah beri kerjasama terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan,” katanya lapor BH pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam afidavit permohonannya memohon mahkamah mengembalikan pasport antarabangsanya selama lapan hari bermula 4 hingga 14 Oktober depan.

Ia untuk membolehkan beliau dan isteri melakukan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat dari pelbagai cabaran dihadapinya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat membantah permohonan itu dengan menyatakan kesalahan dipertuduhkan terhadap pemohon adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin seperti mana dikemukakan pihak saksi.

“Pihak pendakwaan membantah atas alasan diberikan adalah remeh dan tidak munasabah.

“Alasan digunakan pemohon adalah untuk bercuti kerana tertekan dengan pertuduhan mahkamah, selain itu pemohon juga menunjukkan bahawa beliau sangat penat dan perlu bercuti di luar negara bersama keluarga.

“Ini adalah satu alasan yang remeh, percutian dan sambutan ulang tahun boleh dibuat di Malaysia,” katanya.

Mahkamah sebelum ini pernah memulangkan sementara pasport kepada Muhyiddin atas pelbagai alasan termasuk melawat ahli keluarga, mendapatkan rawatan perubatan serta menghadiri program di luar negara.

Terbaru pada 3 Julai lalu apabila Muhyiddin memohon untuk menghadiri majlis graduasi cucunya di London.

Muhyiddin, 77, didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk menerima suapan RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU di CIMB Bank Cawangan Menara KL antara 25 Februari dan 16 Julai 2021, serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lalu atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat