Sesi persekolahan secara bersemuka bagi 47,000 pelajar berjalan lancar – Radzi

- Advertisement -

DUNGUN: Sesi persekolahan secara bersemuka melibatkan 47,000 pelajar dan murid di Terengganu, Kelantan serta di Pulau Langkawi, Kedah yang bermula hari ini berjalan lancar.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata secara keseluruhannya pihak sekolah berjaya mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19 dengan baik, termasuk aspek pengudaraan bilik darjah yang telah ditekankan kementerian sebelum ini.

“Hampir semua kelas pengudaraannya berada pada tahap optimum dan murid-murid serta guru memakai pelitup muka di dalam kelas.

“Semua berjalan baik termasuklah penggiliran murid di dalam kelas seperti yang kita umumkan sebelum ini bahawa setiap kelas hanya separuh murid bersemuka dan separuh lagi belajar di rumah. Ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik dan kesesakan sewaktu kemasukan dalam sekolah dan penyuraian sekolah juga diharapkan dapat dilakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di sini hari ini.

May be an image of 1 person, standing and indoor
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Radzi Jidin bertanya khabar bersama pelajar SM Agama Marang ketika meninjau perjalanan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka.

Terdahulu Radzi turut meninjau sesi persekolah secara bersemuka di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang di Marang dan SMK Tengku Intan Zaharah di Dungun.

Sementara itu, Radzi berkata lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Beliau berkata secara umum pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima setakat ini berjalan dengan baik dan peningkatan jumlah penerima vaksin dalam kalangan golongan tersebut berlangsung dengan agak cepat dan tersusun.

“Hampir kesemua murid Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima telah divaksinkan. Sekarang ini sedang dilaksanakan secara berperingkat, ada yang dilaksanakan mengikut sekolah seperti SMK Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu) hari ini yang merupakan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk dua buah sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan sama Radzi berkata tindakan tidak membenarkan lebih kurang 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka, tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah mahupun di rumah.

“Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu bila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar, ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka. Tidak.

“Ada hampir semua guru yang mengajar subjek yang sama enggan divaksinkan. Sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas. Buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat