KUALA LUMPUR – Janganlah sombong dan bongkak hanya kerana dilahirkan sebagai Melayu dan Islam di negara ini sehingga menanam kebencian bahkan ada yang kerjanya mencaci maki, gelar orang lain sebagai munafik dan dajal semuanya sebab kebencian politik.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Abdul Munim membidas tindakan pihak tertentu yang membangkitkan sentimen perkauman dan agama ekoran insiden seorang wanita cuba mengganggu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu.
Kamil menegaskan mereka yang memainkan isu perkauman sempit demi agenda politik untuk mencetuskan kebencian sedang melakukan “kerja iblis.”
“Kadang-kadang kita gusar melihat trend mutakhir ini berkenaan sikap sebahagian orang politik yang selalu melihat satu isu itu dari lensa perkauman.
“Kalau kita bertarung, jadi satu insiden masyarakat akan diheret dalam perbahasan kaum dan agama yang sempit tujuannya membangkitkan kemarahan dan kebencian sebab agenda politik- ini semua kerja iblis.
“Adakalanya kita pun bingung tengok gelagat sebahagian mereka ini cakap tentang soal Melayu tapi adab tatasusila orang Melayunya entah ke mana, cakap tentang soal Islam kebencian terhadap orang lain semakin menebal ini tak masuk lagi sebahagian lain yang kerjanya caci maki orang, gelar orang sebagai munafik, dajal semuanya sebab kebencian politik.
“Akhirnya kita membuat penilaian bukan secara objektif tapi lebih kepada sentimen yang sempit demi meraih sokongan politik, kita ni sepatutnya beruntung lahir sebagai Melayu Islam dalam negara ini sedangkan orang lain tak ada kesempatan untuk pilih jadi bangsa apa dan agama apa waktu dia dilahirkan, jadi janganlah kita sombong dan bongkak ingat.
“Berpolitiklah secara sihat, jangan pandang orang dengan kebencian, pandang orang dengan tak adil,” nasihat Kamil.
Ujar beliau lagi insiden wanita naik ke atas pentas telah menghampiri dan menyentuh Sultan Perak namun syukur tak ada sebarang kecederaan yang dilaporkan.
“Jadi insiden ini menimbulkan beberapa perkara dan persoalan sudah tentu persoalan pertama yang timbul ialah tentang kepekaan pasukan keselamatan yang berada di situ saya pasti pihak PDRM akan melihat semula tatacara atau SOP keselamatan selepas daripada insiden ini.
“Perkara lain ialah ada juga pihak yang cuba mengaitkan dengan insiden ini dengan isu perkauman- ada pihak yang menyebarkan berita palsu mengatakan wanita yang menyerang itu ialah wanita berbangsa Cina dengan matlamat bahawa insiden ini sebagai satu mesej perkauman mesej tersiratnya mungkin tengok ni orang Cina sudah berani menyerang Raja Melayu secara fizikal antara yang awal yang buat kenyataan bahawa wanita yang menyerang itu ialah berbangsa Cina.
“Timbalan Ketua Pemuda Pas yang juga Adun Manjoi Hafez Sabri yang kemudiannya telah memadamkan posting tersebut dan telah membuat kenyataan maaf.
“Kalau tanya saya secara peribadi terima kasih kepada Hafez kerana menunjukkan sikap yang memohon maaf dan segera membetulkan kesilapan, bukan senang nak tengok orang politik ni minta maaf kecuali time hari raya Aidilfitri tapi damage done ada orang dah termakan dengan berita tersebut,” katanya.



