Cyberjaya – Aktivis politik Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, hari ini dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan hasutan berhubung kenyataan kontroversi yang didakwa dibuatnya pada 2023.
Menurut peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, keputusan itu dicapai selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati tiada asas prima facie untuk meneruskan kes.
“Selepas mendengar keterangan daripada sembilan saksi dan pada akhir kes pendakwaan, hakim mendapati mereka gagal membuktikan sebarang prima facie terhadapnya.
Oleh itu, hakim membenarkan dia dilepaskan dan dibebaskan (DAA),” katanya seperti memetik laporan Malaysiakini.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Siti Aminah Ghazali, yang mendengar perbicaraan selepas kes mula dibicarakan sekitar Julai tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam memaklumkan pihak pendakwaan sedang meneliti kemungkinan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Papagomo, 42, sebelum ini berdepan tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Dakwaan itu berkaitan kenyataan mengenai kerajaan yang didakwa pro-Israel, yang dikongsi di Facebook pada 8 November 2023 melalui akaun Halid Hamidi (Halid Mat Kool).
Perkara tersebut turut dikaitkan dengan bekas ahli Umno yang kini bersama Bersatu, Hisham Sharudin, sebelum membawa kepada pertuduhan asal.



