Pembangunan ekonomi global didorong melalui persidangan antarabangsa logistik maritim dan pelabuhan 2024

- Advertisement -

3 September PUTRAJAYA Di tengah-tengah cabaran globalisasi dan perubahan iklim yang semakin mendesak, sektor logistik maritim dan pengurusan pelabuhan kini menjadi tumpuan dalam merangka strategi masa depan. International Conference on Maritime Logistics and Ports (ICMLP) 2024, yang akan diadakan dari 3 hingga 5 September 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dijangka menjadi platform utama bagi membincangkan isu-isu ini, dengan penyertaan dari pemimpin industri, ahli akademik, dan inovator global.

Persidangan yang dianjurkan oleh Netherlands Maritime University College (NMUC) dengan kerjasama institusi dan organisasi antarabangsa seperti Port Training Institute (PTI) dan STC International, serta disokong oleh entiti tempatan seperti MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) dan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), bakal memberi fokus kepada isu-isu kritikal dalam memastikan masa depan sektor ini kekal mampan dan berdaya saing.

Di sebalik topik yang akan dibincangkan, termasuklah kemajuan teknologi, kelestarian alam sekitar, dan kerangka peraturan, ICMLP 2024 juga menjadi medan penting untuk merapatkan jurang antara teori dan praktis dalam bidang logistik maritim. Persidangan ini dijangka menghasilkan bukan sahaja perbincangan ilmiah yang mendalam, tetapi juga rangka tindakan praktikal yang boleh diadaptasi oleh industri untuk masa depan yang lebih mampan.

Prof Dato Sri Dr. Captain Razali Yacoob, Pengerusi Eksekutif NMUC, menyatakan bahawa persidangan ini diadakan pada waktu yang sangat kritikal. “Kita berada pada satu titik perubahan dalam industri di mana kelestarian dan inovasi teknologi perlu berjalan seiring. ICMLP 2024 diharap dapat membuka laluan baru bagi sektor logistik maritim untuk berkembang dengan lebih cekap dan lestari,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa ICMLP 2024 adalah persidangan pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh NMUC dan beliau berharap agar acara ini menjadi acara tahunan yang lebih besar pada masa akan datang. “Dengan penganjuran kali pertama ini, kami beraspirasi untuk menarik lebih ramai peserta dari pelbagai negara, mewakili populasi global yang lebih luas dalam edisi-edisi seterusnya. Matlamat kami adalah untuk menjadikan ICMLP sebagai acara utama dalam kalendar industri maritim dan logistik di peringkat antarabangsa,” kata Prof Dato Sri Dr. Captain Razali.

Apa yang membezakan ICMLP 2024 daripada acara lain dalam industri ini adalah komitmennya untuk melibatkan peserta dalam perbincangan strategik yang bukan sahaja bersifat jangka pendek, tetapi juga memberi impak kepada masa depan ekonomi global. Para peserta akan berpeluang menyelami isu-isu semasa dan masa depan melalui sesi interaktif dan pameran teknologi terkini yang mempamerkan inovasi-inovasi dalam logistik maritim dan pengurusan pelabuhan.

Dengan penyertaan antarabangsa yang dijangka meluas, ICMLP 2024 juga menyediakan platform rangkaian yang berharga, di mana para profesional industri dapat membina hubungan strategik melalui acara sosial seperti ‘Networking Dinner’ dan pelayaran khas di Tasik Putrajaya. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberikan peluang untuk bersosial, tetapi juga mencipta suasana bagi perbincangan yang lebih mendalam dan berpotensi menghasilkan kerjasama baru.

Untuk industri yang kini berada di persimpangan antara perubahan dan kelestarian, ICMLP 2024 adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan. Pendaftaran kini dibuka, dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi acara, iemlp.nmuc.edu.my.

Dengan penyertaan dalam persidangan ini, peserta bukan sahaja akan diberi peluang untuk meneroka perkembangan terkini, tetapi juga untuk menjadi perintis dalam membentuk masa depan industri logistik maritim dan pengurusan pelabuhan global.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat