KUALA LUMPUR – PAS dengan hormatnya menggesa Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism – CCBCHST) agar menarik balik kenyataan tidak berhemahnya berhubung usaha murni kerajaan untuk menyelaras dan menyeragamkan dasar dan programnya agar lebih selari dengan prinsip Islam.
Namun, tanpa mengabai atau melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam yang bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan, malah terpelihara menurut ajaran Islam sendiri.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS juga percaya MCCBHST harus kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia selain menyuburkan amalan beragama dalam kalangan rakyat sebagai benteng terhadap kecenderungan buruk yang boleh merosakkan, bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama.
“PAS sekali lagi merakamkan rasa terkilan dan kecewa atas sikap dan pendirian Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism – CCBCHST) yang secara sengaja dan konsisten menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Lebih malang lagi, naratif sumbang dan berbahaya MCCBCHST ini bukan sahaja dibuat tanpa bukti yang jelas dan sah, malah ditimbulkan sebaik sahaja kita menyambut Hari Kebangsaan ke-67 beberapa hari lepas, hari sakral bagi merayakan kewujudan dan pencapaian kita sebagai negara yang bebas, bermaruah, harmoni dan bersatu-padu.
“Sama seperti bantahannya terhadap cadangan pindaan Akta 355 untuk memperkukuh Mahkamah Syariah pada April lepas, episod terbaru bantahan MCCBCHST terhadap cadangan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan bagi memastikan penggubalan dasarnya selari dengan prinsip Islam jelas dibuat atas premis yang salah berdasarkan rujukan serta tafsiran undang-undang yang separuh masak, tidak tepat dan sewenang-wenang,” kata Takiyuddin.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, rujukan dan tafsiran sumbang undang-undang yang dikemukakannya itu hanyalah topeng untuk menyembunyikan wajah serta niat sebenarnya yang lebih gelap dan berbahaya, ujanya.
Takiyuddin menegaskan, dalam kedua-dua kes bantahan ini, MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobianya berserta naratif sumbang untuk menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha untuk menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini merupakan “ancaman” terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam.
“Justeru, berdasarkan premis tersebut, MCCBCHST mendakwa langkah dan usaha itu bertentangan dengan jaminan hak asasi untuk orang bukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa bukti yang jelas bahawa pelanggaran hak itu telah atau akan berlaku, PAS percaya sikap serta pendirian MCCBCHST berhubung isu ini hanyalah andaian dan sentimen melulu semata-mata yang tidak boleh dipertahankan sama sekali,” katanya.
Tambah beliau, PAS juga mendapati pendirian MCCBCHST mempunyai kesan yang serius, malah merupakan cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas, hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat, serta menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Dalam konteks kebebasan orang Islam untuk mengamalkan agama mereka, sama seperti bantahan terhadap cadangan pindaan Akta 355, MCCBCHST sekali lagi menunjukkan sikap melampau dan angkuhnya untuk campur tangan dalam urusan orang Islam dengan membuat tafsiran serta menentukan ajaran Islam mana yang harus berada “di ruang awam” dan sebaliknya.
“Dengan berselindung di belakang tafsiran undang-undang yang tersasar dan separuh masak, MCCBCHST seolah-olah mahu berperanan sebagai hakim dan pendakwa sekali gus untuk menentukan tafsiran dan amalan agama orang Islam yang tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranannya.
“Lebih buruk daripada itu, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta dukungan undang-undang terhadap ruang lingkup, bidang kuasa serta peranannya dalam pentadbiran negara dan kehidupan awam rakyat.
Semalam media melaporkan, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.
Memetik laporan Daily Express, mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah itu bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
“Sebelum ini terdapat pelbagai pengumuman untuk memperluaskan peranan Jakim, contohnya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jun 2023.
“MCCBCHST prihatin dengan tindakan yang (dilaporkan) menempatkan pegawai Jakim di setiap jabatan dan kementerian…
“Tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.