Pendatang asing bayar RM10,000 kepada sindiket seludup masuk Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Cubaan 36 pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini gagal selepas mereka ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Terminal Bas Bersepadu (TBS), di sini, 30 Ogos lalu.

Operasi jam 4.30 petang itu disertai sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya susulan kejayaan operasi terdahulu dijalankan di lokasi sama pada Disember 2022 dan Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil maklumat awam dan risikan dilakukan, pihaknya berjaya menahan 32 lelaki dan empat wanita warga asing.

Katanya, semua Pati terbabit yang menaiki bas daripada Stesen Bas Ekpress Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

“Pasukan operasi berjaya mengesan tiga bas ekspres berasingan membawa Pati di lebuh raya Pantai Timur dan mengekori ketiga-tiga bas itu sehingga ke TBS.

“Hasil pemeriksaan dilakukan sebaik semua penumpang turun dari bas berjaya mengesan 20 lelaki warga Bangladesh serta 12 lelaki dan empat wanita warga Myanmar berusia antara 19 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, semakan lanjut ke atas pasport mereka yang ditahan didapati tiada cap keselamatan sah selain terdapat Pati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

“Semakan dilakukan melalui sistem imigresen mendapati terdapat Pati yang memiliki rekod senarai hitam berdasarkan rekod kesalahan sebelum ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membawa masuk Pati ke Malaysia dari negara asal mereka melalui negara jiran dan diseludup masuk menerusi laluan haram,” katanya.

Beliau berkata, semua Pati terbabit akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bayaran dikenakan bagi setiap Pati untuk masuk ke negara ini oleh pihak sindiket berkenaan adalah sebanyak RM10,000.

“Semua Pati itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat