PADAWAN, 3 Julai 2026 – Sebuah menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn. Bhd. di Kampung Semaru, Padawan, Kuching terbakar pada pukul 6.00 petang, 1 Julai 2026.
Kira-kira 1,000 pengguna di sekitar Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang terjejas akibat kebakaran tersebut. Pengguna di kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sejurus kejadian dikenal pasti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat supaya melaksanakan langkah mitigasi dengan segera, termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara menunggu infrastruktur yang terjejas dipulihkan sepenuhnya.
Sepanjang tempoh pemulihan, pengguna yang terjejas disarankan memanfaatkan kemudahan di NADI Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital yang berkaitan.
MCMC akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan dilaksanakan dengan lancar, sekali gus mempercepatkan pemulihan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna yang terjejas.


