Oleh: Zihan Zari
KUALA PERLIS – Perlis boleh diangkat menjadi Hab Perpaduan untuk Zon Utara di mana lebih banyak program perpaduan dapat dilaksanakan yang turut memberi faedah kepada komuniti setempat.
Selain itu, Perlis bakal menerima Kompleks Perpaduan Pertama yang akan menempatkan ruang jentera perpaduan secara bersepadu dan menjadi contoh bagi kompleks perpaduan yang akan dirancang pembinaannya di seluruh negara kelak.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Negara 2024 peringkat negeri Perlis yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Laman Brasmana pada Ahad.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hjh. Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan bercemar duli ke majlis ini.
Turut hadir, Exco Alam Sekitar Perlis, Megat Hashirat Hassan mewakili Menteri Besar Perlis; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN), Dato’ Hj. Che Roslan Che Daud, dan Pengarah JPNIN Perlis, Hanita Ahmad
Aaron berkata, kompleks yang bernilai RM16.8 juta di atas tanah seluas 7.06 ekar di Mukim Seriab telah pun bermula pada 6 Februari lalu dan dijangka siap pada 15 Disember tahun depan.
Ianya bakal menempatkan Pejabat Perpaduan Perlis, Dewan Serbaguna, TABIKA dan TASKA Perpaduan, Bilik Operasi Pusat Rukun Tetangga, Bilik Operasi Mediator Komuniti dan lain-lain kemudahan awam.
Dalam pada itu, SMP yang bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, diadakan dengan objektif untuk mengukuhkan semangat patriotisme, nilai perpaduan, dan hubungan antara kaum sejajar dengan gagasan Malaysia Madani .
Katanya, ianya dianjurkan secara tiga peringkat iaitu Jelajah Kembara Perpaduan dan Karnival Perpaduan dengan pelbagai pengisian menarik yang menonjolkan seni, warisan, adat serta budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa.
Pelbagai aktviti di bawah Kembara Perpaduan dianjurkan seperti komuniti rahmah, karnival ekonomi komuniti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) progresif, sukan uniti, dan sambutan perayaan dapat dilaksanakan.
“Kementerian akan sentiasa menyokong usaha JPNIN Perlis bagi mewujudkan Pintu Gerbang di seluruh KRT negeri ini.
“Pintu Gerbang KRT ini akan menjadi mercu tanda sebagai pengenalan kepada kewujudan KRT dan akan menjadi sebahagian promosi kepada
Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024 – 2025 yang mengetengahkan kehidupan komuniti setempat,” katanya lagi. – SUARA.TV