KDN Tak Halang SPRM Siasat Dakwaan Rasuah Imigresen Di KLIA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan berhubung dakwaan berlaku rasuah membabitkan Jabatan Imigresen di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementerian itu akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan proses siasatan yang diperlukan.

“Sekurang-kurangnya ada tiga perkara di sini iaitu pertamanya secara spesifik dakwaan mengatakan ada elemen rasuah, (pendirian kita) terang bahawa SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi mengesahkan dakwaan itu.

“Perkara kedua merujuk khusus kepada insiden tempoh hari, saya telah berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing). Hasilnya akan kami bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya di Sungai Petani, Kedah pada Isnin.

Khamis lalu, tular di media sosial kekecohan di KLIA apabila King Sing didakwa menceroboh masuk dewan ketibaan antarabangsa selepas seorang pelawat China tidak dibenarkan masuk ke negara ini oleh pihak imigresen.

Menteri berkenaan kemudian mendakwa ada ‘budaya rasuah’ membabitkan Imigresen dalam mengurus proses ketibaan warga asing di KLIA sebelum Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden terbabit.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihak imigresen hanya mengamalkan peraturan imigresen antarabangsa yang diterima pakai majoriti negara untuk mengawal pintu masuk sempadan kerana ia bukan pemeriksaan biasa, sebaliknya membabitkan elemen keselamatan.

“Apabila kita melepasi kaunter imigresen ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya iaitu di mana tempat tinggal kita, adakah mempunyai dana yang cukup sepanjang tempoh pelawat berada di sesuatu negara dan yang ketiga ada tak tiket pulang.

“Sekiranya pelawat melepasi tiga soalan itu, urusan seterusnya tak ada masalah dan hanya jika ada masalah di peringkat itu barulah proses seterusnya mengambil tempat iaitu Notis Penolakan Masuk (NTL) yang berasaskan kepada komunikasi imigresen dengan pelawat,” katanya.

Bagaimanapun Saifuddin berkata, jumlah pelawat yang dikenakan NTL ke negara ini sangat kecil jika dibandingkan dengan pengunjung yang dibenarkan masuk.

“Misalnya pelawat dari China bulanan antara purata 50 ke 60 orang sahaja (dikenakan NTL). Tapi itu adalah proses biasa yang dilakukan mengikut peraturan oleh pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara,” katanya lapor BH.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kementeriannya memperluas penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai imigresen, beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

“Buat masa ini kami fokus kamera badan ini kepada pasukan polis dahulu (kerana) yang itu bajet dah ada dan proses untuk menyediakannya sudah berjalan. Letak di situ dahulu, saya tak mahu berlebih-lebihan. Saya kekal di situ dahulu tak mahu komen apa-apa bab itu (keperluan),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat