Kontena bawa buangan plastik tercemar dipulangkan ke negara asal

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang berjaya mengesan sebuah daripada 14 buah kontena yang membawa buangan plastik tercemar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan notis pemulangan kontena telah dikeluarkan kepada agen untuk tindakan menghantar semula kontena ke negara asal.

“Terima kasih JAS Pulau Pinang, cekap bertindak dan pantas menjalankan pemeriksaan ke atas 14 buah kontena sisa plastik yang dibawa masuk dari Amerika, New Zealand, Great Britain dan Belgium.

“Pemeriksaan telah dilakukan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth, Pulau Pinang. Syarikat pengimport dari Sungai Petani, Kedah yang dipercayai telah diisytiharkan muflis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Tuan Ibrahim, semua kontena diperiksa dan satu kontena membawa buangan plastik tercemar disyaki buangan SW 422 (campuran buangan terjadual dengan buangan bukan terjadual) di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.