GAZA, – Ketika masyarakat dunia memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, wartawan Palestin di Semenanjung Gaza terus menjalankan tugas melaporkan kekejaman perang genosid oleh Israel sejak 7 Oktober 2023, meskipun nyawa mereka sentiasa diancam.
Dalam laporan oleh agensi berita Anadolu Ajansi (AA), para wartawan Palestin dilihat kekal teguh di lapangan walaupun berdepan risiko dibedil bom, ditembak penembak tepat, mahupun ditahan tanpa sebab. Mereka menyifatkan pelaporan ini sebagai bukan hanya tanggungjawab profesional, tetapi juga tanggungjawab kemanusiaan.
Apa yang lebih membimbangkan, laporan itu turut menegaskan bahawa usaha mereka berlaku dalam suasana sepi dan tidak peduli daripada masyarakat antarabangsa serta institusi global yang sepatutnya memperjuangkan keselamatan dan hak wartawan.
Beberapa badan hak asasi manusia dan agensi kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap sikap berdiam diri komuniti antarabangsa, yang menurut mereka secara tidak langsung menggalakkan Israel meneruskan pencabulan terhadap media dan jenayah kemanusiaan.
Sehingga kini, puluhan wartawan telah terkorban dalam serangan di Gaza, menjadikan tahun ini antara yang paling berdarah buat pengamal media di wilayah konflik itu.
Bernama.