KKBDA Catat Sejarah Menang Anugerah Inovasi Terbaik – Sistem Jualan SBU

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

JITRA – Kolej Komunti Bandar Darulaman (KKBDA) mencatat sejarah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori institusi pengajian tinggi (IPT) sempena Program Festival TVET 2025 (Fest TVET 2025) yang telah berlangsung di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, dekat sini baru-baru ini.

Dua Pensyarahnya, Tan Kok Yang dan Ainul Bariah Talib telah membimbing empat pelajar, iaitu Muhammad Syahmi Ishak, Amirul Hakimi Mohd Jais Annuar, Muhammad Aliff Danial Zainal, dan Muhammad Shahril Azizi Azhar.

Mereka telah mengetengahkan projek huraian inovatif dan menunjukkan kepakaran masing-masing dalam menghadapi cabaran dunia sebenar mengenai Projek ‘Sistem Jualan SBU’.

Kesemua mereka telah menerima anugerah pengiktirafan ini dari Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd Walid yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail.

Menurut Kok Yang, Sistem Jualan SBU adalah satu Sistem Pengurusan Pangkalan Data (DBMS) yang digunakan oleh kedai kecil untuk pengurusan jualan dan inventori.

“Ia adalah satu sistem yang ringkas, mudah difahami oleh orang ramai, dan direka untuk Student Business Unit (SBU) di KKBDA bagi melatih pelajar menjadi keusahawanan pada masa depan,”katanya.

Mengulas kejayaan itu, Ainul Bariah berkata, beliau bersyukur dengan pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, malah ianya cerminan semangat pelajar-pelajar KKBDA yang berani mencabar kebiasaan dan mengintegrasikan ilmu yang dipelajari di dalam kelas kepada penyelesaian dunia sebenar.

Beliau berkata, Projek ‘Sistem Jualan SBU’ dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar semester pertama Sijil Teknologi Maklumat dalam kursus SFC10393 Database Fundamentals.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan bimbingan yang betul dan ruang untuk mencuba, potensi mereka boleh digilap ke tahap lebih baik.

“Saya dan Kok Yang berasa amat berbangga dapat menyaksikan sendiri transformasi pelajar daripada seorang pelajar baharu menjadi pencipta inovasi yang mampu menyaingi idea-idea dari institusi pengajian tinggi lain, ”katanya kepada Wartawan SUARA.TV.

“Ini juga membuktikan bahawa inovasi bukan milik siapa yang paling berpengalaman, tetapi milik mereka yang paling bersemangat dan berani mencuba dan tahniah juga diucapkan kepada semua peserta,”katanya lagi.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan bangga kerana ini kali pertama kami menyertai pertandingan inovasi dan berjaya meraih tempat pertama pertandingan ini,”kata salah seorang pelajar, Muhammad Syahmi Ishak.

“Pengalaman ini sangat bermakna kerana kami belajar banyak perkara antaranya kerja berpasukan, kreativiti, sehinggalah penyampaian idea secara profesional.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar TVET juga mampu cipta inovasi yang memberi impak positif, ”katanya.

“Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pensyarah pembimbing yang banyak memberi tunjuk ajar serta pihak pengurusan KKBDA yang sentiasa menyokong kami dari awal hingga akhir,”katanya lagi.

Lebih membanggakan, KKBDA turut meraih tempat kedua (MCB Portable) dan ketiga (Waffle Api-Api) dalam Pertandingan Inovasi Fest TVET 2025 bagi kategori ini.

Di samping itu, KKBDA juga menjadi Johan Pertandingan Sumo Robotik bagi kategori Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).

Untuk rekod, pertandingan ini disertai seramai 87 orang (29 Inovasi) bagi kategori terbuka, manakala bagi kategori IPT melibatkan 42 orang peserta (14 Inovasi) dan bagi kategori Sekolah pula melibatkan 16 orang peserta (4 Inovasi).-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat