Mukhriz Tangguh PKPB, Serang Muhyiddin

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir bukan sahaja menangguhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Kedah, malah menyerang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan media.

Memetik beberapa kenyataan pemimpin UMNO, calon Presiden Bersatu menentang Muhyiddin Yassin itu menganggap Presiden sedia ada gagal menunaikan janji beliau kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Berikut ialah kenyataan penuh Mukhriz:

1) Kebelakangan ini beberapa pemimpin UMNO diperingkat nasional dan negeri telah membuat kenyataan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan kerjasama politik antara UMNO dan PAS (Muafakat Nasional) dan BN.

Saya percaya ramai ahli-ahli Bersatu dan UMNO telah membaca kenyataan-kenyataan itu, serta kenyataan balas yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dari peringkat negeri.

Jelas daripada pendirian yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa orang lagi bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak wujud sebenarnya. Tidak ada sebarang perjanjian antara UMNO, PAS dan BN bersama Bersatu untuk bergabung secara rasmi bagi menubuhkan Kerajaan PN.

2) Angkuh dan sombong, itulah yang boleh dirumuskan mengenai sikap pemimpin UMNO terhadap Bersatu, yang tidak menggambarkan kesepakatan yang telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan PH dan penubuhan kerajaan baru yang digelar Kerajaan PN diperingkat Persekutuan dan beberapa negeri.

Sebaliknya semasa Kerajaan Malaysia dikuasai oleh PH, kerjasama yang terjalin antara Bersatu dengan parti-parti komponen PH, iaitu Keadilan, DAP dan Amanah bersama Parti Warisan Sabah dizahirkan dari keakraban sewaktu berganding bahu melawan Kerajaan kleptokrasi BN. Dan Kerajaan BN itu sudah lebih 60 tahun bertapak. Pengalaman bekerja secara rapat dalam keadaan yang sangat mencabar sebelum dan semasa kempen PRU14 melahirkan hubungan silaturrahim yang seikhlasnya erat dikalangan anggota PH dan Warisan ketika itu.

3) Oleh itu saya terpanggil untuk mengajukan beberapa soalan kepada kepimpinan UMNO. Soalan-soalan ini juga saya tujukan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu, sekaligus memberikan peluang kepada Tan Sri untuk menjelaskan kenapa begitu banyak janji beliau kepada Bersatu tidak menjadi kenyataan.

Janji-janji yang dimaksudkan adalah yang telah beliau kemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu sebagai asas kenapa Bersatu perlu segera tinggalkan PH dan menyertai perikatan baru dengan UMNO dan PAS yang bergabung dibawah Muafakat Nasional (MN). Soalan-soalan ini juga berlegar didalam benak pemikiran setiap ahli Bersatu, dan sekiranya tidak dijawab maka ianya menyebabkan kekeliruan dan kesangsian yang amat memilukan.

4) Ramai ahli-ahli Bersatu ingin tahu adakah benar kerjasama politik yang wujud antara MN dan Bersatu hanya dapat bertahan sehingga Dewan Rakyat dibubar? Tidakkah Bersatu berhak untuk berunding agihan kerusi dengan UMNO dan PAS menjelang PRU15 nanti? Memandangkan kerajaan sekarang dianggotai oleh ketiga-tiga parti politik ini, tidakkah dirasakan pelik bahawa MN akan berlawan dengan Bersatu di kerusi-kerusi yang ditandingi pada PRU15 nanti?

5) Semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga parti politik ini mewakili masyarakat Melayu dan Islam. Justeru base politik mereka adalah sama – iaitu orang Melayu khususnya diluar bandar. Maka sudah tentu Bersatu, UMNO dan PAS berhasrat untuk bertanding di kawasan-kawasan demografi tersebut. Sememangnya semua parti-parti ini telah bertembung di kawasan-kawasan sama pada PRU14.

Olehitu, apakah peluang Bersatu untuk menang kerusi-kerusi yang ditandingi jika ianya akan berdepan dengan UMNO atau PAS dalam keadaan tiada kesepakatan antara mereka? Jika Bersatu sebenarnya tidak bersama MN, dan tidak juga bersama PH, apa logiknya Bersatu boleh menang dimana-mana kawasan sekalipun? Adakah Bersatu berupaya mempertahankan semua kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang sekarang berada dalam tangannya?

6) Didalam Jemaah Menteri lantikan Perdana Menteri sekarang, memang ada wakil-wakil dari Bersatu. Ada juga yang dilantik sebagai Menteri Kanan, dan juga Timbalan-timbalan Menteri. Apakah nasib mereka setelah bubarnya Dewan Rakyat? Adakah mereka akan bertanding di kawasan masing-masing sambil terpaksa berlawan dengan MN? Contohnya di Parlimen Ketereh yang mana Ahli Parlimennya dari UMNO dilantik Menteri Kabinet, manakala Ketua Bahagian Bersatu yang kalah kepada Menteri UMNO itu di PRU14 dilantik senator (dizaman Tun Mahathir) dan Menteri Kanan. Siapakah yang akan dipilih sebagai calon di kerusi itu pada pilihanraya nanti? Atau adakah mereka berdua harus berentap merebut kerusi yang sama walhal pada ketika ini kedua-duanya menganggotai Kerajaan PN?

7) Usahkan Menteri, bagaimana dengan nasib Tan Sri Muhyiddin sendiri? Adakah beliau akan masih dipilih sebagai Perdana Menteri selepas PRU15? Semestinya ada satu bentuk perjanjian antara parti-parti yang kini menjalinkan kerjasama politik untuk menguasai Kerajaan. Kalau tiada, apa makna kerjasama politik ini? Sekadar “marriage of convenience” bersifat sementara sahaja, untuk tempoh tiga tahun atau lebih awal jika Dewan dibubarkan? Kerajaan PN ini terbentuk pada bulan Mac 2020. Jika Dewan dibubarkan dalam tahun ini juga, adakah Bersatu akan terpaksa berhadapan dengan “rakan” politiknya UMNO dan PAS disetiap kerusi termasuk Pagoh, Tambun, Alor Gajah dan Titiwangsa? Adakah situasi tidak menentu ini baik untuk Rakyat dan Negara?

8. Apakah yang menyebabkan Bersatu sanggup bersama dengan MN walhal keberadaan kita dengan mereka umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong? Ya, benar Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri. Tapi perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri sebelum ini pun dari Bersatu juga. Kata Timbalan Presiden UMNO, untuk menaikkan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM ke-8, satu krisis dalaman telah dicetuskan didalam PH oleh pihak tertentu. Siapa pihak yang dimaksudkan?

9) Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama PH? Beberapa kenyataan oleh pemimpin-pemimpin PH menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu kembali. Hubungan diantara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan Negara. Agihan kerusi boleh saja dirunding seperti dulu supaya kita semua berkongsi kekuatan untuk menawan hati Rakyat. Sekurang-kurangnya kita dapat mempertahankan kepentingan Bersatu bersama PH, berbanding dengan ketidaktentuan, risiko dan kerugian jika bersama UMNO dan PAS.

10) Pada hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH. Pengalaman tidak sampai dua bulan dibawah Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak wujud itu sangat pahit bagi Bersatu hingga ke akar umbi. Ahli Majlis dan MPKK yang dianggotai Bersatu telah digugurkan dibeberapa negeri kecuali Kedah. Cukup-cukuplah dengan menang sorak kampung tergadai. Kami tidak mahu lagi Bersatu diperkudakan dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

11) Saya sangat yakin bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda Negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh sebuah Kerajaan Perpaduan yang pernah dicadangkan oleh YAB Tun Mahathir Mohamad. Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali kepangkal jalan. Itulah sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu. Saya doakan Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada anda semua.

#kekalberprinsip #selamatkanbersatu

Wassalam.
3hb Mei, 2020

Kenyataan YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hasan

Kenyataan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin

Kenyataan YB Datuk Tajuddin Abdul Rahman https://www.malaysiakini.com/news/523791

Kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed https://suaramerdeka.com.my/bersatu-jangan-cakap-banyak-kalau-berani-bubarlah-dun-johor-nur-jazlan/

Kenyataan YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub

Kenyataan Media Bersama Amanah dan DAP Johor

Kenyataan YB Dato’ Che Zakaria Mohd Salleh
https://m.malaysiakini.com/news/523266?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Kenyataan YB Tuan Mohd Solihan Badri https://m.malaysiakini.com/news/522823

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat