MCMC raih pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2026

CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima pengiktirafan pada Malaysia Technology Excellence Awards 2026 menerusi pembangunan platform perisikan rangkaian nasional, MCMC NEXUS, yang memperkukuh kaedah pemantauan dan pengurusan prestasi sambungan telekomunikasi di seluruh negara.

Dalam kenyataan media hari ini, MCMC memaklumkan suruhanjaya itu diiktiraf dalam kategori Analytics Telecommunications atas kejayaan membangunkan platform berasaskan data yang meningkatkan kecekapan pemantauan kualiti rangkaian telekomunikasi di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berkenaan mencerminkan kemajuan MCMC dalam memanfaatkan pendekatan dipacu data bagi memperkukuh fungsi kawal selia serta meningkatkan mutu keseluruhan perkhidmatan telekomunikasi untuk rakyat.

“MCMC NEXUS membolehkan pemantauan prestasi rangkaian secara masa nyata dengan menukarkan ukuran mudah alih yang diperoleh secara crowdsourcing kepada maklumat yang boleh diambil tindakan,” menurut kenyataan tersebut.

Platform itu membolehkan pengenalpastian jurang liputan dan masalah sambungan dengan lebih tepat, sekali gus menyokong tindakan intervensi yang lebih pantas dan bersasar bagi menambah baik kualiti perkhidmatan secara berterusan.

Antara ciri utama MCMC NEXUS ialah keupayaan Auto Alert yang sejajar dengan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan Malaysia (MSQoS), yang membolehkan pengesanan awal sebarang potensi kemerosotan perkhidmatan serta memudahkan libat urus segera dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

MCMC turut menegaskan bahawa platform tersebut dibangunkan berasaskan prinsip privacy-by-design dan tidak mengumpul sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Semua data yang digunakan adalah dianonimkan bagi membolehkan analisis prestasi rangkaian di peringkat nasional tanpa menjejaskan privasi pengguna.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) juga mengesahkan aplikasi itu tidak mengumpul maklumat peribadi, sebaliknya hanya menggunakan data anonim prestasi rangkaian selaras dengan undang-undang perlindungan data Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Bahagian Modal Insan MCMC turut menerima pengiktirafan dalam kategori Augmented Reality and Virtual Reality – Government Organisation menerusi inisiatif MetaHRise.

Inisiatif pembelajaran imersif itu direka bagi memperkukuh pembangunan keupayaan bakat melalui pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan dengan memanfaatkan teknologi baharu.

Menurut MCMC, pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan suruhanjaya itu membangunkan teknologi kawal selia tempatan berimpak tinggi, di samping mengukuhkan komitmen terhadap inovasi, pembangunan bakat dalaman dan pendekatan kawal selia berasaskan data dalam memajukan ekosistem digital negara.

Orang ramai juga digalakkan untuk mencuba sendiri aplikasi MCMC NEXUS yang kini tersedia untuk dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

Malaysia Technology Excellence Awards yang dianjurkan oleh Asian Business Review mengiktiraf organisasi yang berada di barisan hadapan inovasi teknologi dan transformasi digital dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat