Jenama politik tidak lagi memadai jika rakyat terus terbeban – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, — Jenama politik yang dibina sesebuah kerajaan tidak lagi memadai untuk mengekalkan sokongan rakyat sekiranya realiti kehidupan harian terus dibelenggu tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad dan persoalan integriti pentadbiran.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, berkata walaupun slogan dan cogan kata penting dalam membentuk persepsi awal rakyat, pengalaman sebenar yang dirasai di lapangan kekal menjadi penentu utama terhadap sokongan politik.

Menurut beliau, sejarah politik Malaysia memperlihatkan bagaimana penggunaan slogan telah berkembang daripada sekadar semangat nasional kepada alat komunikasi strategik yang membentuk naratif sesebuah pentadbiran.

“Pada era awal kemerdekaan, slogan lebih bersifat umum dan berteraskan dasar pembangunan.

“Perubahan yang lebih ketara berlaku pada era Tun Dr Mahathir Mohamad apabila jenama politik digunakan secara lebih tersusun dan strategik,” katanya dalam satu tulisan yang dikongsikan hari ini.

Beliau berkata slogan seperti Bersih, Cekap, Amanah, Malaysia Boleh, Wawasan 2020 dan Kepimpinan Melalui Teladan menjadi contoh bagaimana naratif politik digunakan untuk membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju negara.

Menurut Salleh, pendekatan itu diteruskan dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi melalui konsep Islam Hadhari, sebelum diperluas lagi pada era Najib Razak menerusi slogan 1Malaysia yang disokong pelbagai agenda transformasi negara.

Beliau turut menyentuh slogan Malaysia Baharu, Prihatin, Kita Jaga Kita, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani sebagai kesinambungan penggunaan jenama politik oleh kerajaan-kerajaan terdahulu dan semasa.

Namun, katanya, jenama politik hanya mampu membentuk persepsi awal dan tidak boleh berdiri sendiri tanpa hasil yang benar-benar dirasai rakyat.

“Rakyat akhirnya menilai berdasarkan pengalaman sebenar — kos sara hidup, peluang pekerjaan dan integriti pentadbiran.

“Tanpa hasil yang dirasai, slogan akan kehilangan makna,” katanya.

Menurut beliau, dalam suasana ekonomi dan politik yang semakin mencabar, rakyat kini lebih kritikal dalam menilai prestasi kerajaan, bukan sekadar berdasarkan kekuatan naratif atau slogan.

Katanya, realiti kehidupan rakyat akan terus menjadi ukuran sebenar terhadap keberkesanan sesebuah pentadbiran serta menentukan tahap sokongan politik pada masa depan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat