PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak akan bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung tahun ini. Menurut Ketua BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, gabungan itu akan mengumumkan kerjasama politik dengan pihak lain pada masa yang sesuai.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan situasi politik semasa yang menunjukkan bahawa parti yang bertanding secara solo sukar untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri.
“Umno-BN akan bertanding mengikut kemampuan dan keyakinan. Jadi, sampai masa kita akan putuskan dengan siapa kita bergabung…sebab apabila bergerak solo kemampuan itu terhad.
“Parti yang bergerak solo tidak akan mencapai kemenangan besar malah keadaan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan seluruh dunia. Parti politik akhirnya akan bergabung selepas pilihan raya bentuk kerajaan,” kata Bung Moktar dalam temu bual bersama FMT.
Kenyataan itu dibuat selepas Warisan, yang sebelum ini dilihat sebagai potensi rakan kerjasama BN, memutuskan untuk bertanding secara bersendirian pada PRN Sabah kali ini. Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada 8 Mac lalu menegaskan bahawa partinya kekal sebagai parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah dan menolak spekulasi pakatan dengan mana-mana parti lain.
Terdahulu, Bung Moktar pernah dilaporkan bersetuju untuk bekerjasama dengan Warisan dalam usaha menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Kehadirannya dalam Perhimpunan Agung Warisan sebelum ini turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pakatan rasmi antara BN Sabah dan Warisan. Namun, BN Sabah baru-baru ini menegaskan bahawa tiada perbincangan rasmi dilakukan mengenai perkara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar menyatakan bahawa BN masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti, kecuali pihak yang pernah mengkhianati mereka.
“Kita membuka pintu juga…bukan terlalu luas, tapi masih ada perundingan dengan mana-mana parti,” katanya sambil menegaskan bahawa BN menyasarkan untuk bertanding di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRN Sabah 2020, BN menerusi UMNO berjaya memenangi 14 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Warisan pula memperoleh 23 kerusi, diikuti DAP (6), PKR (2), Upko (1), PBS (7), Star (6), Bebas (3), dan Bersatu (11 – sebelum Parti Gagasan Rakyat Sabah ditubuhkan). Daripada 14 DUN yang dimenangi BN, lima daripadanya kemudian memberikan sokongan kepada pentadbiran Hajiji selepas ‘Langkah Kinabalu’ yang menyaksikan gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.
Dengan landskap politik Sabah yang terus berubah, keputusan BN untuk bekerjasama dengan pihak lain bakal menjadi faktor penentu dalam menentukan hala tuju politik negeri itu pada pilihan raya akan datang.