KUALA LUMPUR – Konflik pertukaran Ketua Menteri Melaka mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan tidak mustahil selepas ini Johor pula berdepan pergolakan sama.
Dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mereka mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini dalam usaha memantapkan kedudukan dan pengaruhnya di negeri-negeri pula memandangkan majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno adalah ‘orang Presiden’.
“Ini adalah langkah Zahid untuk perkukuh kedudukan dia, ini penting.
“Kini majoriti MKT semua orang dia, lepas ini dia nak pastikan di negeri-negeri Pengerusi Perhubungan dan juga Ketua Menteri adalah orang dia dan ini lah masa terbaik,” dakwa Khairy pada Isnin.
Susulan konflik pertukaran Ketua Menteri Melaka itu, Khairy dan Shahril membangkitkan persoalan siapa pula lepas ini?
“Siapa lepas ini dalam percaturan Zahid untuk pastikan semua Pengerusi Perhubungan negeri, Menteri Besar, Ketua Menteri adalah orang dia?
“Mungkin juga Johor? Kerana sudah jelas dan terang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terbukti bukan orang Zahid.
“Sebab dia (Onn Hafiz) antara pemimpin Umno lepas PRU15 yang nyatakan Zahid perlu letak jawatan,” katanya.
November tahun lalu, Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor menggesa Presiden Umno, Zahid untuk segera meletak jawatan.
Kata Onn Hafiz, peletakan jawatan Zahid itu sebagai tanggungjawab atas kekalahan BN dan Umno yang mencatat prestasi terburuk pada PRU15.
Susulan itu, Khairy bertanyakan kepada Shahril beranikah Zahid menukar Menteri Besar Johor?
Pun begitu Shahril menjawab, di Johor perlu banyak pertimbangan diambil.
“Setakat ini jelas dia (Zahid) belum berani,” balasnya.
Untuk rekod, Onn Hafiz adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar dan pelantikan sebagai Menteri Besar ke-19 sebagai mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.
Onn Hafiz pernah memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau juga anak saudara kepada bekas Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga bekas Menteri Pertahanan.