KUALA LUMPUR – Isu pertukaran Ketua Menteri Melaka telah mencetuskan implikasi peringkat nasional dan dijangkakan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi itu sebagai strategi taktikal agar Pakatan Harapan (PH) juga membalas jasa Barisan Nasional (BN) dengan menawarkan kerusi Exco selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mereka merumuskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk di Melaka adalah persediaan BN untuk menghadapi PRN di enam negeri akan datang.
Menurut Khairy, sebelum bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Ali meletakkan jawatan semua barisan Exco Melaka adalah dari komponen BN yakni Umno, MCA dan MIC sekarang ini Umno-BN telah memberi isyarat melalui kenyataan Zahid dan juga kenyataan Rauf bahawa mereka akan memasukkan wakil daripada PH kerajaan Perpaduan dari DAP-PKR- Amanah
“Ini adalah satu tawaran yang sangat besar kepada PH. Sebab PH kita tak nampak pula di negeri-negeri mereka menawarkan BN untuk menjadi Exco,” kata Khairy.
Manakala Shahril pula berpandangan, mungkin Zahid memikirkan ini satu lagi bukti kepada PH betapa Zahid membantu politik PH.
“Dengan harapan bahawa selepas PRN-PRN akan datang yang Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang mana selepas itu Umno akan dapat lantikan Exco.
“…dan saya yakin sama ada perkara ini berlaku atau tidak, tetapi itu mesej yang disampaikan kepada akar umbi Umno- kita mengalah sedikit di Melaka tetapi kita akan dapat di negeri-negeri lain cuma kita tengoklah sama ada PH buat atau tidak,” ujar Shahril.
Bahkan Khairy juga beranggapan mungkin ini adalah strategi daripada Zahid sebelum PRN.
“Ini kita bagi sedikit kepada Melaka untuk kerusi-kerusi Exco ini dengan harapan bahawa satu kita akan dapat lebih kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam rundingan kerusi dan kita akan dapat kerusi-kerusi tambahan dalam Exco yang akan dibentuk sekiranya menang dalam PRN,” katanya sekali gus menyimpulkan langkah itu sebagai strategi taktikal Zahid.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan ADUN dari PH akan menyertai barisan Exconya nanti.
Ab Rauf berkata, beliau akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Sementara itu, Khairy dan Shahril menyatakan bahawa tindakan yang dirancang Zahid untuk Melaka itu adalah langkah-langkah membina keyakinan secara bersiri.
“Contoh pengeculian pertandingan jawatan dua jawatan tertinggi Umno yang dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu sebagai balasan “I’ll do something for you” bukan bermakna dikaitkan secara rasmi tetapi dalam hubungan antara dua pihak ini mesti ada langkah-langkah membina keyakinan, ” dakwa beliau lagi.
Bahkan Shahril pula menyifatkan tindakan yang disusun Zahid itu untuk memaparkan normalisasi hubungan antara Umno dan PH.
“Ini semua siri-siri ke arah membiasakan antara orang Umno dan PH, membiasakan rakyat bahawa ini bukan kompromi lagi tapi satu political union yang sedang disusun.
“Satu gambaran yang kita akab menang sebagai pasukan,” ujarnya.



