Ada ‘orang luar’ cadang Umno singkir MCA, dakwa Wee Ka Siong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa wujud “orang luar” tertentu telah mencadangkan agar Umno menyingkirkan MCA daripada Barisan Nasional (BN).

Justeru beliau berkata MCA “menunggu” keputusan Umno.

Tanpa menamakan sesiapa, Ka Siong menegaskan bahawa sesetengah orang yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada BN kini menikmati hubungan rapat dengan Umno.

Ironinya, dia berkata mereka adalah pihak yang sama sebelum ini menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungannya dengan Umno.

“Pada masa itu, MCA dipersalahkan kerana kamu (Umno). Kami dilabel sebagai pengkhianat kepada orang Cina, dituduh terlalu rapat dengan kamu – dan tuduhan ini datang daripada mereka (orang luar).

“Sekarang mereka ini menasihatkan anda untuk menyingkirkan MCA, kami tunggu,” kata ahli parlimen Ayer Hitam itu.

Ka Siong membuat kenyataan ini dalam wawancara bersama dengan akhbar Cina. Video temu bual itu dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini.

Dalam video itu, Ka Siong menekankan bahawa “orang luar” itu kini memegang jawatan kerajaan bersama Umno, yang menjelaskan keakraban baru mereka.

“Kami tidak dengki dan tidak cemburu,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa apabila pemimpin Umno tertentu membuat kenyataan, selalunya “orang luar” itu – dan bukannya daripada parti komponen BN – yang menyokong mereka.

Ka Siong seterusnya menegaskan bahawa pihak berkenaan juga telah menggesa Umno untuk menyingkirkan MCA daripada BN.

“Adakah anda fikir BN patut melayan gesaan sedemikian?

“Jika BN mempunyai sejarah menyingkirkan parti komponen sesuka hati, ia tidak akan bertahan sehingga hari ini.

“Apa yang saya ingin katakan ialah ini – setiap kali anda orang luar mendengar sesuatu yang anda tidak suka, reaksi pertama anda ialah menuntut penyingkiran MCA. Malah anda mendakwa bahawa MCA tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tetapi pernahkah anda mengambil masa sebentar untuk memikirkan apakah isu sebenar?” soalnya.

Meski tidak memetik mana-mana nama, Ka Siong dipercayai merujuk kepada DAP yang merupakan seteru dan pesaing MCA, terutama dalam meraih sokongan pengundi dari kalangan masyarakat Cina.

MCA kekal sebagai parti komponen BN, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.

Parti itu kini mempunyai dua ahli parlimen – Ka Siong sendiri dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak dilantik ke jawatan menteri atau timbalan menteri.

Dalam catatan di Facebooknya, Ka Siong menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa beliau seorang Ahli Parlimen yang juga Presiden parti MCA akan terus memainkan peranan demi kebaikan masyarakat dan juga kepentingan negara.

“Tuanku turut bertitah mengenai betapa pentingnya peranan Ahli Dewan dalam menyatu padukan rakyat dan tidak menjadi ejen perpecahan.

“Inilah yang selalu saya terapkan iaitu MCA akan terus konsisten sebagai ejen muhibah yang mengharmonikan masyarakat.

“Untuk persidangan kali ini, saya telah menghantar 10 soalan bagi Pertanyaan Jawab Lisan, 5 Pertanyaan Jawab Bertulis, 8 usul persendirian dan 1 usul Kamar Khas,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat