Kampung People satukan Rashidi Ishak dengan Wan Hasliza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama menerusi drama Kampung People menjadi titik permulaan hubungan persahabatan di antara pelakon, Rashidi Ishak, 50, dengan pengarahnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin hingga ke jenjang pelamin.

Wan Hasliza ketika dihubungi berkata, pernikahannya dengan Rashidi semalam adalah ketentuan jodoh di antara mereka.

“Alhamdulillah, perkahwinan saya dan suami, sudah jodoh kami kerana perkara sebegini (jodoh) tak boleh diagak, tiba-tiba saja boleh jadi.

“Kami pun mulanya berkawan-kawan dulu dan Alhamdulillah, daripada persahabatan itu jadi semakin selesa dan juga kami saling memahami,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai bulan madu, Wan Hasliza berkata, buat masa ini belum difikirkan kerana masih banyak urusan penggambaran drama yang perlu disiapkan dulu.

“Semalam bernikah, hari ini memang saya dah bekerja semula. Cuti sekejap itu adalah, tapi untuk bulan madu belum rancang lagi. Sekarang, saya juga sibuk dengan beberapa drama baharu yang akan datang.

“Antaranya, saya ada satu projek drama baharu dengan Astro dan satu lagi projek drama daripada Datuk Rosyam Nor yang perlu saya siapkan. Jadi, saya memang dah kena masuk kerjalah,” katanya.

Meninjau hantaran dibuat Wan Hasliza dan Rashidi di Instagram masing-masing, mereka berkongsi petikan video berdurasi satu minit dan 31 saat yang memaparkan majlis perkahwinan berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Siliau, Negeri Sembilan, semalam.

Pada acara akad nikah itu, Wan Hasliza diwalikan saudara lelakinya dan menerima mas kahwin RM200 daripada Rashidi. Pasangan pengantin juga menggayakan busana sedondon berwarna putih.

Menerusi kapsyen ditulis, ‘Pots, jom kahwin. Jom (beat)… Nak kahwin tak? Nak!!! 3 bulan kemudian, 2.2.2023, Rashidi Ishak dan Wan Hasliza Wan Zainuddin (berserta emoji hati).

“Kami ingin berterima kasih kepada ayah, ibu, adik-beradik, seluruh keluarga dan rakan-rakan semua di atas doa dan restu penyatuan ini.

“Terutama sekali kerana membantu segala persiapan majlis yang indah ini. Serba-serbi disediakan sangat teliti dan terperinci, bekerjasama di antara dua keluarga. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar dan sempurna,” tulis mereka.

Semalam, berita perkahwinan itu turut dikongsikan oleh anak perempuan Rashidi, Maryam Rashika di Instagram dan mendapat ucapan tahniah daripada warga maya.

Rashidi pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Vanida Imran pada 1 Oktober 2000 namun bercerai pada 9 Ogos 2018.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail dan Maryam Rashika. – HM Online

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat