TVET Bukan Lagi Pendidikan Kelas Dua- PM

KUALA LUMPUR – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini dinaik taraf sebagai pilihan utama sekali gus menghapus persepsi kononnya ia pendidikan kelas kedua,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1 supaya mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

“Tiba masa TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri untuk masa depan kerjaya yang cemerlang.

“Hal ini kerana TVET terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” katanya.

Perdana Menteri mengharapkan supaya TVET dijadikann pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan seperti negara maju yang lain.

Ujar Ismail Sabri kini terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta melibatkan 11 kementerian dan 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh negara, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

“Kerajaan mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam iaitu UNIMAP, UTeM, UTHM dan UMP.

“Kempen, promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi kononya TVET pendidikan kelas dua dan tidak releven,” jelas beliau.