KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tampil menjawab ‘pembongkaran’ bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam memoirnya “My Story: Justice in Wilderness”.
“Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah tumbang. Agong tidak boleh lantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri sebagai Pemangku Perdana Menteri.
“Sama seperti saya, dia (Wan Azizah) juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR. Samalah juga dengan Kabinet,” catat Dr Mahathir di blognya.
Beliau menjelaskan, semasa beliau letak jawatan pada 2020 PH telah hilang majoriti dan Agong tidak boleh terus lantik Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri.
Bahkan katanya, Agong juga tidak meminta Wan Azizah menjadi Perdana Menteri Interim.
“Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk Perdana Menteri Interim. Saya terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 Ahli Parlimen mengambil masa yang lama. Negara perlukan Ketua Kerajaan sementara.
“Setelah ahli Parlimen pilih Perdana Menteri baru, pelantikan saya terhenti. Tetapi ahli parlimen tidak berikan majoriti jelas, Anwar peroleh 92 manakala saya 62 undi.
“Ya. Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat peletakan kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan,” ujar Mahathir.
Hal demikian beliau memberitahu sebagai Perdana Menteri Interim tugas beliau ialah untuk menubuh Kerajaan.
“Ahli politik sibuk bercakap tentang kepentingan parti mereka, bukan tentang negara.
“Saya berpendapat kita perlu lupakan tentang parti dan fikir tentang negara. Oleh itu saya beritahu kepada semua Ketua Parti kita perlu ada Kerajaan Perpaduan dan lupakan agenda peribadi. Kita juga perlu bawa bukan ahli politik ke dalam Kerajaan,” cadangnya.
Terdahulu, Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara berkata, tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan kemudian mencalonkan diri untuk terus memegang jawatan itu secara sementara “berkemungkinan tidak pernah diambil sesiapa dalam sejarah moden politik.”