Sanusi sahkan wujud rancangan PN untuk tumbangkan kerajaan

- Advertisement -

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

“Saya rasa apa-apa proses yang dibenarkan undang-undang boleh dilakukan mengikut yang dibenarkan Perlembagaan kerana dibenarkan bagi menyatakan sokongan kepada sesiapa.

“Yang lima orang (Ahli Parlimen PN) sokong (kerajaan) tak ada siapa kata apa, (malah) mereka seronok. Kalau sokongan lima orang itu digambarkan sebagai berperlembagaan berdasarkan demokrasi, tindakan sebaliknya juga biasa sahaja.

“Mereka boleh ambil lima, kalau kita boleh ambil 10 takkan nak marah? Sokong dia tak apa, tak sokong dia takkan tak boleh? Tentu boleh juga,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama.

“Jadi itu proses biasa dalam demokrasi, dibenarkan Perlembagaan. Saya rasa itu lompong dalam Akta Antilompat Parti, yang menunjukkan jalan lompong itu adalah mereka, jadi kita lalu sahaja.

“Saya tak fikir ia Langkah Dubai, (mungkin) langkah Chow Kit kerana perkara itu dibincang di Kuala Lumpur. Saya rasa Dubai itu ‘dummy’ sahaja sebab mereka nak berjalan ke Dubai.

“(Mungkin) ada langkah Alor Setar kerana dibincang di Alor Setar, ada langkah Bera, ada langkah Sembrong. Semua itu boleh dibuat ikut Perlembagaan.

“Kita sentiasa mencuba, pihak satu lagi bertahan macam lawan bola. Takkan biarkan mereka sahaja jaring gol, kita tak boleh jaring ka? Jadi kalau kita jaring gol jangan marah,” katanya.

Muhammad Sanusi yakin Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat ini.

“Tentu mereka takut benda nak hilang. Kita yang nak pergi ambil memang seronok kalau berlaku. Saya yakin akan berlaku, takkan bertahan lima tahun.

“Mereka akan tumbang melalui peralihan sokongan. Saya tahu bila tapi tak boleh beritahu. Siapa tidur tak lena datang ambil ubat di rumah saya, saya jampi air secawan.

“Apa masalah? Dahulu mereka namakan Langkah Sheraton. Bukan langkah Sheraton, situ pergi makan saja. Semua benda berlaku sebelum itu,” katanya.

Beliau mendakwa banyak pihak yakin peralihan Kerajaan Persekutuan boleh berlaku menyebabkan kebimbangan kepada pihak yang menyokong mereka.

“Mereka kata bumbung kami konkrit tak boleh pecah, kubu pun orang bagi pecah, secara demokrasi tak mustahil akan berlaku. Saya nampak ia akan terjadi kalau boleh bulan ini, kalau minggu ini lagi seronok,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat