Tidak mustahil naratif Langkah Dubai ciptaan kerajaan sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naratif Langkah Dubai mungkin sekadar rekaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa dicemburui, dianiaya dan dikhianti oleh mereka yang berhati busuk.

Wartawan veteran, Datuk A.Kadir Jasin malah tidak menolak kemungkinan hingar-bingar Langkah Dubai ini berasal daripada pihak kerajaan sendiri.

“Jadi apakah muslihat di sebalik hingar-bingar mengenai Langkah Dubai ini? Mungkinkah ia berasal daripada pihak kerajaan sendiri bagi meneruskan naratif dan diayah bahawa Anwar ini sentiasa dicemburui, dianiaya dan dikhianati oleh mereka yang berhati busuk?

“Dalam erti kata lain, Anwar sentiasa memerlukan “nemesis” (musuh) sebenar atau khayalan untuk memberi keabsahan kepada politiknya.

“Itulah kaedah beliau dan penyokongnya sejak zaman protes belia pada tahun 1970-an sehingga kepada zaman konformis Umno pada 1980-an dan 90-an, era reformasi selepas dipecat pada tahun 1998 dan kini era kuasa di Putrajaya,” dakwa A.Kadir.

Sementara tegas beliau, apa juga gerakan ke arah menumbang atau menukar kerajaan adalah mengenai kuasa eksekutif dan duit.

“Kuasa adalah bersamaan dengan duit bagi yang memegang tampuk kuasa. Bagi yang tidak berkuasa, harta yang ada boleh dibekukan atau disita.

“Kerana duit lah, Ahli Parlimen pembangkang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Mereka kata, mereka hendak peruntukan untuk kawasan,” ujarnya.

Justeru menurut beliau, duit memainkan peranan penting dalam apa juga gerakan menjatuh atau menaikkan kerajaan. Slogan demi agama, bangsa dan negara hanyalah penyedap kata.

“Yang benar-benar bersuara adalah duit. Orang putih kata, “money talks”. Ada duit boleh cakap. Tak ada duit duduk senyap-senyap.

“Jadi tidaklah menghairankan kalau yang ditakuti oleh Kerajaan Madani adalah “money”. Oleh sebab itulah mana-mana pihak yang berduit (atau disyaki berduit) tetapi tidak menyokong kerajaan sangat dicurigai,” katanya.

Tambah A.Kadir lagi, sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan setahun lalu, agensi-agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat sesiapa sahaja yang disyakinya.

“Bagi orang yang tahu, siasat menyiasat sudah jadi amalan biasa. Apatah lagi selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan rampas merampas kuasa menggunakan SD selepas itu. Sudah jadi amalan “engkau buat kepada aku, aku buat kepada engkau.” Orang putih kata, “tit-for-tat”.

“Saya pernah cerita bagaimana saya disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (pendahulu kepada SPRM) pada akhir tahun 1990-an bersabit dakwaan keterlibatan Anwar Ibrahim dalam urusan pembelian lesen penjana elektrik bebas (IPP) oleh Realmild Sdn Bhd daripada dua individu Bumiputera. Saya adalah salah seorang ahli lembaga pengarah dan pemegang saham Realmild ketika itu.

“Dakwaan itu terkandung dalam akuan berkanun (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid, pada tahun 1999. Sepanjang ingatan saya tidak ada tindakan susulan kepada siasatan itu. Boleh jadi kerajaan waktu itu hanya hendak tahu kesahihan dakwaan Murad, khususnya kemungkinan wujudnya “war chest” Anwar,” katanya.

A. Kadir menyebut dalam persekitaran politik duit (money politics), tidak ada ahli politik boleh kekal lama, apatah lagi sebagai pembangkang, tanpa sumber kewangan yang sihat dan penyokong sektor swasta yang ramai.

“Seperti yang berlaku dengan rampasan kuasa tebuk atap tahun 2020 dan penggulingannya oleh kluster mahkamah Umno pada tahun berikutnya, unsur kuasa dan duit memainkan peranan penting. Sama ada duit politik atau peruntukan kerajaan.

“Dalam konteks semasa, Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mempunyai kuasa pentadbiran, politik dan kewangan yang sangat kuat. Melainkan beliau sendiri lemah, adalah mustahil mana-mana pihak boleh menumbangkan beliau.

“Peruntukan di bawah kawalan terus beliau dalam Belanjawan 2024 hampir RM79 bilion, iaitu RM12 bilion di Jabatan Perdana Menteri dan RM66.57 bilion di Kementerian Kewangan.

“Mustahil musuh beliau mempunyai kuasa pentadbiran, politik dan kewangan yang lebih besar daripada beliau. Lagi pun banyak akaun mereka telah dibekukan dan harta mereka disita,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat