Perak Komited Agenda Pemerkasaan Tanah Rizab Melayu – Saarani

- Advertisement -

IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu tanah rizab Melayu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setelah isu tanah rizab Melayu disiarkan dalam media pada 24 Januari 2021, Jabatan Audit Negara telah melakukan proses audit terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk dalam soal endorsan kemasukan tanah rizab Melayu dalam dokumen hakmilik, pencerobohan tanah rizab dan penggantian tanah rizab yang tidak setara dengan pembatalan.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri Perak mengarahkan supaya PTG mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya dengan mengemukakan maklum balas terhadap perkara-perkara berkenaan secara terus kepada Jabatan Audit Negara.

“Proses penambahbaikan yang dilakukan masih berjalan dengan PTG telah memberi laporan secara berkala sehinggalah Jabatan Audit Negara berpuas hati bahawa isu-isu yang dibangkitkan diselesaikan secara tuntas.

“Walaupun sebahagian daripada isu-isu yang dibangkitkan telah dapat diselesaikan, namun PTG telah mengambil inisiatif secara berterusan untuk menambahbaik polisi pemerkasaan tanah rizab Melayu di negeri Perak.

“Antaranya cadangan pindaan Akta Syarikat 1965 pada memorandum dan artikel persatuan untuk meletakkan sekatan pertukaran pemegang saham kepada bukan Melayu bagi syarikat Melayu dan penambahbaikan Enakmen Rizab Melayu.

“Juga pengukuhan data-data Tanah Rizab Melayu, komitmen pengekalan pegangan Melayu dalam Tanah Rizab Melayu dan galakan pembangunan Tanah Rizab Melayu bagi tujuan kemajuan ekonomi untuk kepentingan orang Melayu di Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Perkara itu didedahkan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Perak didesak segera bertindak memandangkan laporan berkenaan sudah didedahkan lebih setahun lalu namun didakwa belum ada tindakan susulan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat