Kuala Lumpur, 2 Disember 2024 – Syarikat teknologi global HONOR baru sahaja mengumumkan pelancaran HONOR X9c Smart sebagai tambahan terbaru dalam siri X mereka di Malaysia. Model ini, yang akan mula dijual pada 11 Disember jam 8 malam, adalah versi lite kepada model terlaris HONOR X9c 5G yang terkenal dengan ketahanannya.
Dengan keupayaan bateri yang tahan lama, keupayaan fotografi mengagumkan, dan pengalaman dipacu AI, HONOR X9c Smart menawarkan pilihan mesra bajet bagi pengguna yang mementingkan nilai. Namun, dengan nama yang hampir serupa dan pelancaran yang berdekatan, apakah perbezaan antara kedua-dua model ini? Berikut adalah perbandingan utama:
Jaminan Tambahan untuk Pengguna
HONOR X9c 5G hadir dengan perlindungan Triple Assurance, termasuk penggantian skrin depan dan belakang secara percuma selama 365 hari, jaminan bateri selama 36 bulan (jika tahap kesihatan bateri jatuh bawah 80%), dan penggantian satu-ke-satu dalam tempoh 180 hari untuk kecacatan kilang. Sementara itu, HONOR X9c Smart disokong oleh jaminan standard selama setahun sahaja.
Kuasa Bateri yang Hebat
Dalam aspek bateri, HONOR X9c 5G menawarkan bateri silikon-karbon berkapasiti 6,600mAh yang pertama dalam industri, dilengkapi dengan pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge dan mod penjimatan tenaga AI. Model ini memberikan ketahanan luar biasa untuk penggunaan harian.
Sebaliknya, HONOR X9c Smart menampilkan bateri berkapasiti tinggi 5,800mAh—terbesar dalam kategorinya. Dengan ketahanan sehingga 31.6 jam penstriman muzik dan 18.5 jam tontonan video dalam talian, ia sangat sesuai untuk hiburan berpanjangan. Ia juga menyokong pengecasan pantas 35W HONOR SuperCharge untuk keperluan mendesak.
Pengalaman Dipacu AI
Kedua-dua model menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan produktiviti dan pengalaman pengguna. Ciri seperti Magic Portal, Magic Capsule, dan Parallel Space memudahkan multitugas. HONOR X9c 5G juga menawarkan ciri keselamatan tambahan Blur Privacy, yang secara automatik mengaburkan maklumat sensitif dalam tangkapan skrin.
Reka Bentuk Paparan: Flat atau Melengkung?
HONOR X9c Smart menampilkan paparan rata 6.8 inci FHD+ LCD dengan kecerahan maksimum 850 nits. Reka bentuk ini sesuai untuk pengguna yang lebih gemar paparan rata.
Sebaliknya, HONOR X9c 5G tampil dengan paparan OLED melengkung 6.78 inci yang menyokong resolusi 1.5K dan kecerahan maksimum 4,000 nits. Ia bukan sahaja memberikan pengalaman visual premium, tetapi juga lebih estetik dengan reka bentuk yang elegan.
Kedua-dua model menyokong kadar segar semula 120Hz, memastikan interaksi skrin yang lancar.
Kehebatan Kamera
Untuk fotografi, HONOR X9c 5G menawarkan kamera utama 108MP Ultra Sensing yang disokong oleh EIS (Penstabilan Imej Elektronik) dan OIS (Penstabilan Imej Optik) untuk gambar tajam dan stabil, terutama dalam keadaan cahaya rendah.
HONOR X9c Smart pula menggunakan EIS sahaja, tetapi tetap memberikan prestasi fotografi yang baik untuk kegunaan harian.
Pilihan Storan dan Prestasi
HONOR X9c 5G dikuasakan oleh pemproses Qualcomm® Snapdragon® 6 Gen 1 dengan pilihan RAM sehingga 24GB (12GB RAM Turbo) dan storan sehingga 512GB.
HONOR X9c Smart pula menggunakan pemproses MediaTek Dimensity 7025, dengan RAM sehingga 16GB (8GB RAM Turbo) dan storan 256GB. Konfigurasi ini mencukupi untuk tugas harian tanpa kompromi prestasi.
HONOR X9c 5G hadir dalam tiga warna elegan: Titanium Purple, Jade Cyan, dan Titanium Black. HONOR X9c Smart pula menawarkan dua pilihan warna menarik: Ocean Cyan dan Moonlight White dengan reka bentuk belakang yang diilhamkan oleh corak marmar semula jadi.
Bagi pengguna yang mencari telefon pintar tahan lasak dengan lingkungan RM1,000 lebih, HONOR X9c Smart adalah pilihan ideal. Dengan paparan rata, ciri AI, dan hayat bateri yang mengagumkan, ia memberikan nilai luar biasa untuk kegunaan harian.
Namun, bagi mereka yang mencari pengalaman flagship dengan ciri premium seperti paparan OLED melengkung, sistem audio dinamik, kamera berprestasi tinggi, dan jaminan selepas jualan yang menyeluruh, HONOR X9c 5G adalah pilihan yang terbaik.
Untuk maklumat lanjut, ikuti laman Facebook HONOR Malaysia atau lawati laman rasmi mereka di HONOR Malaysia.