Agong Kurnia Bot Kepada Penduduk Daerah Pekan

- Advertisement -

PEKAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan bot kepada penduduk di daerah ini sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Seri Paduka ketika bertitah kepada penerima berpesan supaya bot tersebut digunakan secara bersama penduduk lain yang terjejas banjir dan bukan untuk kegunaan sendiri semata-mata.

“Jangan jual pula ya, ini (bot) untuk bantu orang-orang terdekat juga…kalau ada rumah-rumah terdekat (banjir) bantu, tolong jiran,” titah Al-Sultan Abdullah.

Lima bot jenis fiber lengkap bersama jaket keselamatan itu dikurniakan Seri Paduka di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini, selepas menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi selain makanan keperluan harian daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 150 asnaf.

Sementara itu, pekebun Mohamad Fahamy Mohamad Sarif, 49, yang menetap di Kampung Pelak di sini, tidak menjangkakan akan menerima bantuan tersebut daripada Al-Sultan Abdullah.

“Saya hilang kata-kata sebaik dimaklumkan akan menerima bot berkenaan kerana setiap kali musim banjir kami memang terputus hubungan dan hanya pinjam bot orang lain untuk menyelamatkan diri.

“Apabila ada bot sendiri ini mudah untuk saya keluarkan keluarga dan jiran lain ke pusat pemindahan sementara, kadang-kadang tunggu pasukan keselamatan tiba ia ambil masa yang lama,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Pekerja gerai makanan Ahmad Ghairah Abdul Rahman, 54, pula berkata beliau terharu dengan keprihatinan Seri Paduka yang begitu mengambil berat keperluan mangsa banjir.

“Setiap kali banjir boleh dikatakan rumah kami akan terjejas sebab berhampiran dengan sungai dan apabila banjir teruk kami akan terputus hubungan, bantuan bot ini amat bermakna dan saya sangat bersyukur dengan sumbangan dikurniakan ini,” kata penduduk Kampung Ganchong itu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat