KUALA LUMPUR – Seorang lagi penasihat khas kepada Perdana Menteri bakal dilantik yang akan memberi nasihat berkaitan hal kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata, Penasihat Khas Kesihatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih dalam proses lantikan.

Abdul Latiff berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), beliau berkata, dua lagi penasihat khas sudah dilantik sebelum ini membabitkan undang-undang dan hak asasi manusia dan agama masing-masing diisi oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Latiff berkata, anggaran kos bulanan bagi satu pejabat penasihat khas termasuk pegawai adalah RM50,000.

“Kos ini termasuklah bayaran gaji dan emolumen penasihat khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat berkenaan.

“Penasihat-penasihat yang dilantik ini adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan dengan skop tugas mereka yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan rasional Ismail Sabri menambah kos kerajaan dengan melantik penasihat walaupun beliau sudah mempunyai menteri yang mampu melaksanakan tanggungjawab sama.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, pelantikan Ketua UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama dilakukan ketika negara berdepan krisis ekonomi.

“Adakah Ismail Sabri tidak menaruh kepercayaan kepada Jemaah Menteri untuk memberi maklum balas yang diperlukan atau adakah mereka langsung tidak kompeten?

“Sekiranya mereka tidak mampu menunjukkan prestasi baik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pegawai yang boleh memberi nasihat kepada Perdana Menteri. Justeru, ia hanya membuktikan Ismail Sabri tidak lagi yakin dengan sesiapa pun dalam Kabinetnya,” katanya di Dewan Rakyat.