KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memandang serius aduan kes buli dan peras ugut membabitkan anggota tentera seperti yang dikongsi pensohor Twitter, @pedoqpop.

Hishammuddin meminta individu yang membuat aduan tersebut untuk memaklumkan butir terperinci berhubung kes buli berkenaan sebelum sebarang tindakan dilakukan pihak Kementerian Pertahanan.

“Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM (direct message) butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” catat Hishammuddin di Facebooknya pada Khamis.

Bukan sekadar itu, Hishammuddin juga meminta Timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz meneliti aduan buli berkenaan.

“Timbalan Menteri juga telah di arah untuk teliti perkara ini secara peribadi.

“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegas beliau.

Merujuk aduan itu seorang individu mengadu adiknya, askar yang tinggal di kem tentera bujang dipukul dan diperas ugut oleh senior.

“Hari-hari dia kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpanan pun dah nak habis.

“Bayangkan belikan barang-barang keperluan mereka yang 12 ke 14 orang tu, dia takut nak buat apa-apa sebab kes-kes sebelum ini orang atasan cuma denda kawad 45 minit sahaja,” katanya.

Pengadu berkenaan juga akui bimbang adiknya akan menerima nasib sama seperti Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman.