KUALA LUMPUR – “Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja”, kata pemilik Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim

Tunku Mahkota Johor menganggap ada hikmah di sebalik kekalahan JDT di tangan ,katanya bagus juga ada ‘wake-up call’.

“Buat apa pun jikalau Allah SWT tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya.

“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad.

“Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.

“Saya anggap kekalahan semalam adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini,” catat beliau di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.

Meski kecewa, TMJ tetap menghargai sokongan penyokong dan setiap individu dalam kelab JDT.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap penyokong dan keluarga Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada setiap individu dalam kelab — para pemain, barisan kejurulatihan, dan staf — dengan mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab yang menang kejuaraan liga lapan tahun berturut-turut dan layak untuk peringkat tertinggi dalam Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC,” ucap beliau.

Baginda juga berkongsi perkembangan kelab dan juga beberapa maklumat berkaitan.

“Kami (JDT) akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan kami.

” Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan.

“Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.

“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’,” ujar TMJ.