Aktiviti dan Operasi Koperasi Turut Terkesan Dengan Pandemik Covid – Wan Junaidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi berjaya menjana pendapatan berjumlah RM45.7 bilion sehingga 31 Dis, 2019, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata purata pertumbuhan pendapatan sektor koperasi setiap tahun pula menunjukkan peningkatan sebanyak 3.97 peratus bagi tempoh 2014 hingga 2019.

“Sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada masa ini hanya di antara 3.0 peratus dengan 4.0 peratus sahaja.

“Walaupun sumbangan tersebut kelihatan masih sangat rendah berbanding sumbangan sektor berkenaan di Thailand sebanyak 19 peratus, dan 26 peratus di Vietnam, namun sektor koperasi negara masih memiliki ruang yang signifikan untuk berkembang dan meningkat dari segi nilai,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai angka sumbangan pergerakan koperasi dalam negara kepada KDNK.

Wan Junaidi berkata penularan pandemik COVID-19 banyak memberi kesan kepada aktiviti dan operasi koperasi.

Beliau berkata Kajian Kesan Wabak COVID ke atas Perniagaan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Kaji Selidik Usahawan Pasca-Covid Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mendapati prestasi perniagaan koperasi telah mengalami kemerosotan sebanyak 32 peratus.

Susulan itu, ia mengakibatkan koperasi mencatatkan penurunan pendapatan sehingga 33.9 peratus, katanya.

Beliau berkata kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut menjadikan hanya 39 peratus koperasi masih beroperasi manakala 17 peratus perniagaan koperasi telah terhenti.

Lebih 42 peratus koperasi pula mengalami masalah kecairan tunai disebabkan kekurangan modal pusingan terutama koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan, katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat