KUALA LUMPUR – Sesi undian Belanjawan Negara 2024 petang ini dianggap satu manifestasi penting kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menentukan keabsahan atau legitimasi beliau sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam catatan di Facebooknya menyatakan undian kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan Madani petang ini: Adakah pentadbiran Anwar Ibrahim teguh atau tumbang.
Beliau mengupas, pada petang ini 2 November 2023, mulai jam 6 petang, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggulung belanjawan Kementerian Kewangan di peringkat dasar.
“Selepas Anwar selesai menjawab akan diadakan dua kali undian. Undian ini bukan sebarang undian.Undian ini adalah undian ke atas Belanjawan Kerajaan Perpaduan Madani bagi tahun 2024 sebanyak RM395.80 bilion.
“Undian pertama ialah undian untuk bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2024.Ini ujian pertama yang pentadbiran Anwar Ibrahim kena hadapi dengan jumlah ahli parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional yang besar seramai 74 orang, manakala blok Kerajaan Perpaduan Madani tidak ada suara majoriti minimum yang dikehendaki iaitu 148 orang,” ulas beliau.
Menurut Hassan, jika kerajaan Anwar Ibrahim gagal melepasi undian pertama ini, maka ia adalah satu malapetaka kepada Kerajaan Perpaduan Madani.
“Belanjawaan Malaysia bagi tahun 2024 yang dibentangkan oleh Anwar pada 13 Oktober 2023 dengan tema: Kerangka Ekonomi Madani:Memperkasa Rakyat boleh melepasi undian pertama dengan mudah sekiranya semua ahli parlimen penyokong kerajaan hadir di Parlimen petang ini untuk mengundi menyokong Belanjawa 2024.
“Jika Belanjawan 2024 itu melepasi undian pertama, maka ia akan segera diikuti dengan undian yang kedua iaitu undian ke atas Usul Pembangunan diedar kepada Jawatankuasa Majlis. Sekali lagi Belanjawaan 2024 itu diuji.
“Sekiranya dalam proses kedua -dua undian itu dijalankan secara undian suara, rasanya tidak sukar bagi Kerajaan Perpaduan Madani mendapatkan kelulusan berdasar suara mana yang lebih kuat menyokong,” ujarnya.
Tetapi kata Hassan jika blok pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai jumlah ahli parlimen yang besar itu berdiri memohon undian belah bahagi atau block voting, maka suatu “moment of truth” akan berlaku iaitu sejauh mana kekuatan sebenar Kerajaan Perpaduan Madani dan juga kekuatan PN dapat dihitung satu persatu.
Jelas beliau, jika undian belah bahagi berlaku petang ini, maka perhatian akan tertarik kepada dua ahli Parlimen iaitu Kuala Kangsar dan Labuan yang telah menyatakan secara terbuka sokongan mereka kepada pentadbiran Anwar.
“Apakah bentuk undian mereka berdua.Menyokong atau menentang Belanjawaan 2024?
“Secara hypothetical, apa jadi kalau hasil undian petang ini nanti berkesudahan Belanjawan 2024 ditolak? Jawapannya adalah ia merupakan satu manifestasi Anwar hilang keabsahan atau legitimasi sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Hassan berkata lagi, kalau senario buruk itu terjadi di mana sebuah kerajaan gagal memenangi majoriti mudah dalam pengundian Belanjawan Negara, maka bukan sahaja Perdana Menteri terpaksa berundur tetapi seluruh Kabinet atau Jemaah Menteri secara konvensyen dan Undang-Undang Perlembagaan perlu meletakkan jawatan.
“Demikianlah pentingnya Belanjawan Negara tahun 2024 ini diluluskan dalam pengundian pada petang ini supaya Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Anwar ini tidak tumbang,” katanya.