KUALA LUMPUR – Bekas-bekas wakil rakyat yang tidak terpilih dinasihatkan agar tidak mencetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj malah cuba tutup bilik gerakan.
Ini akan memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri,” pesan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu mengingatkan bahawa mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ini menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian.
“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.
“Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung
“Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti Umno dan Barisan Nasional (BN),” tegas beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Zahid malah berkata, mereka perlu sedar apabila meletakkan muka-muka baru bermakna ia adalah sebahagian daripada peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat dan kedudukan sewajarnya untuk memastikan suara dan tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.
“Kita perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Maka kita perlu pastikan sayap puteri dan pemuda BN berada dalam landasan yang betul di barisan hadapan, di BN. Sebab itulah misalnya Ketua Puteri Umno Malaysia, Ketua Puteri Negeri, Pemuda Umno mengambil tempat dan kedudukan.
“Kita perlu berubah. Dalam politik “No one person is indispensable, but all people are important. Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan,” kataya.
Pengurusi BN itu menambah, apabila tidak tersenarai bukan maknanya tidak penting akan tetapi tidak selamanya kita menongkat langit maka laluan kepada calon baharu perlu dilakukan kata peribahasa patah tumbuh hilang berganti.
“Insyallah, marilah kita bersama-sama merapatkan barisan, mengukuhkan kesepaduan kita, memastikan kemenangan besar BN demi kestabilan dan kemakmuran negara,” seru beliau.
Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan bahawa Top 5 Umno telah melakukan penyaringan terperinci bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan Umno dan BN.
Zahid berkata, mereka inilah juga antara yang ramai dalam BN yang memenuhi ciri kriteria “WALI” yang kita perlukan untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini, iaitu ciri “winnability” (boleh menang), “acceptibility” (kebolehterimaan) dan “likeability” (disenangi).
“Tahniah kepada semua calon BN yang berjaya dipilih. Sesungguhnya anda adalah yang terbaik kalangan terbaik.
“Bukan mudah memilih yang terbaik kalangan terbaik. Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum memuktamadkan pemilihan.
“Tidak mudah membuat keputusan getir namun keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulihkan dan menjadi pencetus kepada kebangkitan Umno dan BN,” jelas Zahid.
Menurut beliau, jika Umno dan BN tidak membuat perubahan sekarang, maka boleh menyebabkan parti ketinggalan ke belakang di kala parti-parti pesaing melakukan perubahan terutama kalangan calon yang bertanding pada pilihan raya umum.
Tambah Zahid lagi, suara anak muda sangat penting dan parti perlu mendengar dan memberikan peluang calon-calon baru untuk bertanding.
“Yang sudah lama menjadi wakil rakyat perlu memberikan peluang suara anak-anak mengambil tempat dan kedudukan.
“Ketika yang sudah lama bertanding dahulu mereka juga disokong oleh anak-anak muda dan dewasa yang lain. Tanpa sokongan ini mereka tidak akan dapat menjadi wakil rakyat untuk berpenggal-penggal lamanya.
“Kini apabila tibanya masa mereka pula apabila tidak terpilih, mengambil sikap betul, berjiwa besar menerima sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan dahulu,” katanya.