KUALA LUMPUR- Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas tujuh pengganas warga Filipina atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, 11 tahun lalu.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan hukuman mati dikekalkan kepada semua pemohon.
Semua pemohon itu adalah Panglima Tentera Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang juga anak saudara Jamalul Kiram III yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.
“Keputusan sebulat suara kami permohonan pemohon-pemohon ditolak dan mahkamah mengekalkan keputusan sebelum ini, setiap seorang mereka kekal dengan hukuman mati seperti ditetapkan,” kata Tengku Maimun, pada Rabu.
Ketujuh-tujuh pesalah tersebut memohon supaya mahkamah mengetepikan hukuman mati dan digantikan dengan penjara selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Untuk rekod, undang-undang baharu itu membolehkan hakim menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.
Ia memperuntukkan hukuman sebat tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki bawah 50 tahun jika hukuman gantung digantikan.
Ketika prosiding, peguam mewakili semua pemohon, Mervyn@Hasan Sainy berhujah, mahkamah perlu mengambil beberapa faktor termasuklah usia pemohon selain dapatan mahkamah yang mendapati kesemua pemohon tidak terlibat secara langsung dalam pembunuhan pencerobohan itu.
“Kesemua mereka terlibat melalui perbualan telefon dan merupakan Royal Sulu Force (RFS),” hujahnya, lapor MalaysiaGazette.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar bagaimanapun membantah semakan semula hukuman gantung itu berikutan keseriusan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh kesemua pemohon.
Katanya, jika permohonan tujuh pengganas itu dibenarkan, ia bakal memberikan satu ‘signal’ yang salah kepada masyarakat umum berhubung kesalahan serius dilakukan oleh semua pesalah tersebut.
“Hukuman mati adalah wajar. Tindakan pencerobohan kedaulatan negara adalah sangat dibimbangi serta bertentangan dengan semangat bangsa kita. Banyak masalah telah timbul melalui pencerobohan termasuklah pembunuhan anggota kita dalam keadaan kejam,” ujarnya.
Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit.