KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata hanya yang memiliki ID (pengenalan diri) dan di sahkan layak sahaja boleh membeli minyak masak paket bersubsidi.
Melalui hantaran di facebook rasmi miliknya, Fuziah berkata mekanisme ini masih dalam penelitian disebabkan keperluan mengikut golongan tertentu memerlukan ID khas yang berbeza.
“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga micro.
“Maka nanti kita hadkan pembelian kpd 3 atau 5 kg, peniaga akan bermasalah. Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya.
Jelasnya, minyak masak paket kini berada di pasaran terbuka dan ia perlu disasarkan kepada yang memerlukan agar tidak berlaku penjualan kepada pihak tertentu.
“Pada ketika ini Kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan.
Akan tetapi aduan di terima ialah ianya tidak boleh di dapati di pasaran. Ianya selalu habis.
“Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan…supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya,” katanya.
Fuziah dalam kemaskini hantaran yang sama berkata akan mempertimbangkan penggunaan MyKad sebagai akses khas pembelian minyak paket bersubsidi.
“Sekiranya memudahkan dengan link kpd MyKad kita boleh pertimbangkan. Berkenaan dengan Peniaga micro kita perlu bincang lagi sebab mereka tak semua berdaftar.
“Apapun.. relakk… kita belum muktamadkan mekanisma. Kita cuma dah muktamadkan penerima.. libaturus berterusan,” katanya.