Anak Bekas Menteri Fail Rayuan Ketepi Sabitan, Hukuman Penjara Berkaitan Dadah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Anak bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam Mohamad memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 8 bulan yang dijatuhkan terhadapnya atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam Muaz Zafar yang mewakili Ahmad, 32, selaku perayu kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Maryam Jamielah Ab Manaff.

“Notis rayuan itu difailkan sekitar Jun tahun ini dan hari ini mahkamah menetapkan 13 Nov untuk pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi yang sama.

“Pihak kami juga masih menunggu alasan penghakiman dan nota keterangan untuk kes ini,” kata Muaz.

Prosiding hari ini turut dihadiri timbalan pendakwa raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Ahmad Saiful Islam.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan terhadap Ahmad selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengarahkannya menjalani 2 tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Ahmad diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh keputusan (24 Jun).

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 3 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad membela diri terhadap pertuduhan itu.

Enam saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan, termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula 15 Okt tahun lepas. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat